PENYERANG Liverpool, Darwin Nunez, membuat pengakuan jujur bahawa dia sedang melalui tempoh sukar walaupun muncul wira dengan dua jaringan lewat yang memastikan kemenangan 2-0 pasukannya ke atas Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris, pada Sabtu.

Skuad kendalian Jurgen Klopp terpaksa bekerja keras untuk menembusi benteng pertahanan kukuh Brentford yang dipimpin Thomas Frank.

Walau bagaimanapun, Liverpool akhirnya berjaya memecah kebuntuan selepas mencatatkan 37 percubaan sepanjang perlawanan, dengan dua gol pada masa kecederaan hasil sentuhan tajam Nunez.

Meskipun dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan, Nunez secara terbuka mengakui bahawa dia sedang berdepan cabaran besar, terutama dalam aspek mental, selepas berdepan kritikan kerana prestasinya yang dianggap kurang menyengat sebelum ini.

Dua gol Darwin Nunez pada masa kecederaan bantu Liverpool mengutip tiga mata penuh di tempat lawan.

Pemain dari Uruguay itu hanya mencetak empat gol dalam 26 penampilan di semua pertandingan sebelum perlawanan ini, sekaligus mencetuskan spekulasi bahawa Liverpool mungkin mempertimbangkan untuk melepaskannya.

“Saya tidak pernah mengalah saya terus bekerja keras dan jika perlu tinggal lebih lama untuk berlatih selepas sesi latihan, saya akan lakukannya untuk memperbaiki diri.

“Saya tahu orang memandang kepada statistik gol, terutama bagi seorang penyerang, tetapi saya juga bekerja keras di atas padang untuk membantu pasukan bertahan.

“Saya rasa itu sesuatu yang saya lakukan dengan baik, tetapi saya tahu saya perlu lebih kerap menjaringkan gol.

“Hakikatnya, saya sedang melalui tempoh sukar seperti yang saya katakan sebelum ini, saya fokus pada kerja saya dan memberikan segalanya untuk Liverpool.

“Penting untuk terus berfikiran positif. Saya sentiasa beritahu diri saya bahawa saya perlu bekerja keras untuk memperbaiki prestasi dan sokongan daripada keluarga dan peminat yang luar biasa sangat membantu saya kekal kuat,” kata Nunez yang dipetik daripada Sky Sports.

Kemenangan ke atas Brentford ini memberikan suntikan moral buat Nunez dan Liverpool, yang kini menerajui tangga teratas liga.

The Reds dijadualkan berdepan Lille dalam perlawanan penting Liga Juara-Juara Eropah pada Rabu sebelum meneruskan kempen Liga Perdana Inggeris menentang Ipswich pada 25 Januari.