MANCHESTER United telah mendedahkan perancangan mereka untuk menaik taraf Old Trafford atau membina stadium baharu berkapasiti 100,000 tempat duduk, dengan keputusan muktamad dijangka diumumkan menjelang musim panas ini.

Kelab itu kini berada di persimpangan penting setelah sekumpulan pakar, yang diketuai oleh Lord Sebastien Coe, mengemukakan laporan bahawa pembinaan stadium baharu dan pembangunan kawasan sekitarnya mampu memberikan impak besar kepada ekonomi.

Memetik laporan media antarabangsa, projek ini berpotensi menyumbang RM40.6 bilion kepada ekonomi dan mewujudkan lebih 90,000 peluang pekerjaan.

Projek pembaharuan ini seiring dengan usaha Manchester United untuk membina semula kelab dari segi pelbagai aspek. FOTO | Place North West.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh kumpulan itu, 90 peratus penyokong mahu kelab ini membangunkan stadium bertaraf dunia, tetapi hanya 52 peratus yang menyokong pembinaan stadium baharu sepenuhnya.

Sejak Sir Jim Ratcliffe dan INEOS melengkapkan pembelian 25 peratus saham kelab pada Disember 2023, United telah menilai beberapa pilihan berkaitan masa depan Old Trafford.

Keadaan struktur semasa yang semakin uzur sering menjadi simbol penurunan prestasi kelab dalam beberapa musim terakhir, dan kini perubahan besar kelihatan semakin hampir.

“Sebahagian laporan telah dikemukakan oleh Task Force, menggariskan peluang sekali seumur hidup untuk mengubah kawasan bersejarah yang dahulunya dikenali sebagai enjin perindustrian Greater Manchester kepada sebuah hab baharu yang merangkumi inovasi dalam bidang sukan, hiburan, perniagaan, dan pendidikan.

“Visi ini adalah untuk Manchester United membangunkan sebuah stadium bertaraf dunia yang mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan semula Trafford Park.

“Penemuan awal menunjukkan projek ini berpotensi menyumbang tambahan RM42.3 bilion nilai kasar ekonomi kepada UK serta mewujudkan lebih 90,000 peluang pekerjaan.

“Task Force juga menyatakan bahawa menaik taraf Old Trafford boleh meningkatkan kapasiti stadium kepada 87,000 tempat duduk, manakala pembinaan stadium baharu dapat menampung sehingga 100,000 tempat duduk.

“Kedua-dua pilihan tersebut masih sedang dipertimbangkan, dan kelab akan memutuskan pendekatan yang lebih sesuai menjelang musim panas ini,” tulis kenyataan yang dipetik daripada website rasmi Manchester United.

Kapasiti semasa stadium Old Trafford, yang menjadi gelanggang rasmi Manchester United, adalah sekitar 74,310 tempat duduk.

Projek pembaharuan ini seiring dengan usaha United untuk membina semula kelab dari pelbagai aspek, termasuk di atas padang.

Di bawah kendalian Ruben Amorim sebagai pengurus, prestasi pasukan menunjukkan peningkatan memberangsangkan, termasuk keputusan seri di tempat lawan menentang pendahulu liga Liverpool, menyingkirkan Arsenal daripada saingan Piala FA, dan kemenangan 3-1 ke atas Southampton.

Kebangkitan ini memberi harapan kepada penyokong bahawa masa depan yang cerah sedang menanti United, sejajar dengan perancangan besar untuk memperkukuh infrastruktur kelab.