JURULATIH Liverpool, Arne Slot kini berdepan tekanan besar selepas pasukannya tewas empat perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris, rekod terburuk The Reds sejak tahun 2014.

Liverpool yang tewas 1-2 di laman sendiri hasil jaringan lewat Harry Maguire kini jatuh ke tangga keempat liga, empat mata di belakang pendahulu Arsenal, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong yang sudah terbiasa melihat The Reds tampil dominan dalam beberapa musim lalu.

“Sebagai jurulatih di kelab besar, tekanan itu normal, sekarang saya perlu buktikan kami boleh bangkit semula,” katanya selepas perlawanan  dan Slot mengakui tempoh ini antara cabaran terbesar sejak tiba di Anfield.

“Saya tak nampak mereka hilang keyakinan. Kami tetap cipta banyak peluang, cuma gagal menyudahkannya,” jelasnya.

“Kami kalah bukan sebab insiden tertentu, tapi kerana terlalu banyak peluang yang terlepas,” ujar jurulatih dari Belanda itu yang menolak faktor kecederaan sebagai punca utama kekalahan.

Liverpool kini berisiko mencatat lima kekalahan berturut-turut buat kali pertama sejak 1953, namun Slot kekal optimis dan mahu pasukannya segera bangkit menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Eintracht Frankfurt.

Untuk rekod, kali terakhir Liverpool tewas empat kali berturut-turut ialah di bawah kendalian Brendan Rodgers ketika musim 14/15.