SKUAD Harimau Malaya bakal diuji lebih awal apabila turun menentang pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde dalam aksi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada 29 Mei ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Perlawanan ini merupakan satu persiapan penting menjelang pertembungan getir menentang Vietnam dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027, 10 Jun nanti.

Pertembungan sulung menentang wakil Afrika itu bakal menjadi medan penting buat ketua jurulatih Peter Cklamovski mengasah keserasian taktikal pasukan selepas kemenangan 2-0 ke atas Nepal sebelum ini.

Menariknya, pertemuan kedua menentang Cape Verde akan diadakan secara tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Jun sebagai Perlawanan Latihan, memperlihatkan kesungguhan Malaysia dalam merencana strategi menjelang aksi hidup mati menentang Vietnam di venue sama.

Setakat ini, Harimau Malaya berada pada landasan positif dalam Kumpulan F selepas kemenangan ke atas Nepal, namun tekanan bakal memuncak apabila bertemu Vietnam yang mempamerkan aksi garang dengan membelasah Laos 5-0.

Perlawanan di Bukit Jalil pada 10 Jun nanti dilihat sebagai penentu hala tuju sebenar skuad kebangsaan dalam misi layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Dengan sokongan padu penyokong dan persiapan yang semakin intensif, Harimau Malaya kini hanya tinggal beberapa minggu lagi untuk buktikan mereka mampu berdiri sama tinggi di pentas Asia.