IMPIAN Arsenal untuk kembali ke pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) kini tergugat selepas hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 menentang Liverpool dalam aksi panas di Anfield.

Kegagalan meraih tiga mata penuh menyaksikan skuad kendalian Mikel Arteta kini dihimpit tekanan dengan dua perlawanan getir menanti.

Dengan 68 mata dikumpul setakat ini, The Gunners hanya dipisahkan dua mata dengan Newcastle United di tangga ketiga dan tiga mata dengan Manchester City yang berada di kedudukan keempat.

Lebih membimbangkan, Chelsea dan Aston Villa yang menghuni tangga kelima serta keenam, kini hanya lima mata di belakang Arsenal. Jika tersilap langkah, Arsenal bukan saja berisiko tercicir dari kelompok empat teratas, malah boleh terlepas terus tiket UCL musim hadapan.


Arteta tidak menyembunyikan kekecewaannya selepas menyaksikan pasukannya ketinggalan 0-2 dalam 20 minit pertama hasil jaringan Cody Gakpo dan Luis Diaz.

“Apa yang kami pamerkan di awal perlawanan langsung tidak boleh diterima. Ia jauh daripada standard sebenar kami musim ini,” katanya dengan nada tegas.

Walaupun bangkit menyamakan kedudukan menerusi Gabriel Martinelli dan Mikel Merino di babak kedua, keputusan seri itu jelas memberi tamparan hebat kepada Arsenal yang kini perlu menang baki dua aksi terakhir menentang Newcastle United dan Southampton jika mahu menamatkan musim dengan penuh maruah.

“Saya tak mahu pemain yang hanya tahu beri reaksi. Saya mahu pemain yang bertindak dan mereka buktikan itu di separuh masa kedua, tapi segalanya sudah hampir terlambat,” ujar Arteta.

Jika Arsenal gagal mengutip enam mata maksimum dalam dua perlawanan tersebut, impian mereka untuk kembali ke pentas UCL selepas beberapa musim akan sekali lagi musnah di penghujung jalan. Tekanan kini berada sepenuhnya di bahu Arteta dan barisan pemainnya.