JUARA beregu campuran Master Orleans 2023, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak berlengah untuk mengikuti latihan biarpun baru pulang dari Eropah kelmarin, kerana mahu melakukan persiapan rapi menghadapi Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang akan membuka tirai 25 hingga 30 April ini, di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Tang Jie-Ee Wei sedar, aksi di Dubai itu menjadi peluang terbaik buat mereka menyelinap masuk ke dalam kelompok beregu campuran terbaik dunia kerana beregu ternama Asia turut menyertai kejohanan itu.

Berdasarkan undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Asia semalam, beregu campuran negara itu bakal berentap dengan pilihan ketujuh kejohanan, Kom Won Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan di pusingan pertama.

Kedua-dua mereka pernah bertemu Mac lalu di suku akhir Terbuka Jerman, namun kemenangan berpihak kepada pasangan Korea Selatan itu.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi contoh terbaik buat pemain muda negara mencipta keazaman tinggi untuk melakar kejayaan di pentas antarabangsa.

“Gelaran adalah motivasi kepada kami, tetapi menang, saya rasa kami kena bermula dari kosong semula kerana perkara itu sudah berlalu. Kami perlu sentiasa bersikap merendah diri dan meningkatkan prestasi untuk kejohanan yang akan datang.

“Macam saya datang balik berlatih sebab ada BAC, jadi saya mahu bermain dan tunjukkan apa yang saya bagus iaitu dengan datang latihan, kalau saya dengan Ee Wei sudah sombong, mungkin kami sudah rehat, tetapi rehat pun penting bergantung kepada keadaan badan,” jelas Tang Jie yang ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang akan membuka tirai 25 hingga 30 April menjadi medan terbaik Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memperkenal diri sebagai pencabar apabila kelayakan Olimpik Paris bermula, bulan depan.

Kedua-dua pemain ini kembali meneruskan latihan bersama rakan sepasukan yang lain seawal jam tujuh pagi biarpun diberikan cuti oleh jurulatih, Nova Widianto kerana baru sahaja tiba dari tugasan luar negara.

Selain Tang Jie dan Ee Wei, beregu campuran Malaysia turut diwakili tiga gandingan profesional iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See.

Kejuaraan di Paris hujung minggu lalu itu turut melonjakkan ranking Tang Jie-Ee Wei yang kini menghuni kedudukan ke-22 dunia, menjadikan mereka pasangan ketiga terbaik negara ketika ini di belakang Kian Meng-Lai Pei Jing (13) dan Soon Huat-Shevon (8).

Dalam perjalanan menuju kelayakan ke Olimpik Paris, ketika ini, hanya Tang Jie-Ee Wei yang mempamerkan prestasi konsisten di pentas antarabangsa.