SIDANG media yang dikendali Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) semalam bukan sekadar sesi menjawab isu, tetapi satu contoh kepimpinan berani mengambil tanggungjawab ketika bola sepak negara dilanda krisis.
Seandainya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah sama sebaik keputusan hukuman FIFA diumumkan pada 25 September lalu, mungkin kemarahan penyokong dan kekeliruan maklumat tidak akan sebesar hari ini.
FAM sebenarnya telah dimaklumkan mengenai siasatan FIFA sejak Ogos lagi, malah keputusan rasmi turut diterima lebih awal daripada tarikh pengumuman. Namun, kegagalan badan induk itu mengadakan sidang media segera bagi menjelaskan situasi sebenar membuka ruang kepada spekulasi serta andaian dalam kalangan peminat dan media.
Jika FAM pada hari itu tampil dengan sikap bertanggungjawab seperti ditunjukkan TMJ, isu pemain warisan ini mungkin dapat dikawal dengan lebih baik tanpa mencetuskan krisis keyakinan yang berpanjangan.
Sebaliknya, sikap berdiam diri FAM dari 25 September hingga sidang media bersama timbalan presiden FAM, Datuk Sivasundaram Sithamparam Pillai pada 17 Oktober hanya menambah kekeliruan yang akhirnya kelihatan tidak teratur dan teragak-agak menjawab persoalan penting.
Berbeza dengan TMJ, yang secara terbuka menjawab setiap soalan tanpa berselindung dan menjelaskan fakta sebenar dengan tenang serta telus. Inilah bentuk kepimpinan yang dicari oleh penyokong, kepimpinan yang tidak lari daripada tanggungjawab dan tidak menyorok di sebalik kenyataan umum.
Difahamkan, rayuan rasmi FAM terhadap hukuman FIFA telah dikemukakan dan keputusan muktamad dijangka diumumkan pada 30 Oktober ini.