SKUAD ragbi kebangsaan mendapat tonik tambahan menjelang aksi penentuan play-off Kejohanan Ragbi Asia 2025 menentang Sri Lanka pada 19 April ini, apavila bakal diperkuat dua pemain naturalisasi, Samuela Tamanisau dan Etonia Vaqa Saukuru, kembali memperkuat pasukan.

Dua pemain kelahiran Fiji itu bukan asing buat peminat ragbi tempatan, pernah menyarung jersi negara sekitar 2016 dan 2017 serta memiliki pengalaman luas dalam Liga Ragbi Malaysia sebelum liga itu dihentikan beberapa tahun lalu.

Ketua jurulatih negara, Mohd Saizul Hafifi Ahmad berkata, beliau menyambut baik kehadiran semula dua pemain berpengaruh itu yang menyertai latihan pusat di Universiti Malaya bermula semalam.

Ketua jurulatih negara, Mohd Saizul Hafifi Ahmad sambut baik kehadiran dua pemain kelahiran Fiji ke dalam skuad kebangsaan.

“Mereka sudah berada di sini dan akan terus menyertai latihan. Kita harap kecergasan mereka berada pada tahap terbaik kerana kehadiran mereka amat penting untuk memperkukuh posisi forward dan back,” katanya.

Menurut Saizul, Tamanisau dan Saukuru layak menyarung jersi kebangsaan selepas memenuhi syarat naturalisasi, iaitu beraksi lebih tiga tahun dalam liga tempatan seperti ditetapkan badan induk Ragbi Asia.

Dua pemain Fiji, Samuela Tamanisau dan Etonia Vaqa Saukuru kini mewakili Malaysia.

“Walaupun liga tempatan tergendala, mereka kekal aktif bermain di luar negara dan kini kembali untuk bantu negara dalam misi penting ini,” katanya.

Fokus utama pasukan ketika ini adalah meningkatkan kecergasan, kekuatan fizikal serta membentuk gandingan mantap antara pemain berpengalaman dan muka baharu, selain mengelak kecederaan sebelum berlepas ke Colombo pada 16 April.

Perlawanan menentang Sri Lanka dianggap ‘hidup mati’ buat skuad Bunga Raya, selepas hanya menamatkan saingan di tangga keempat Kejohanan Ragbi Asia tahun lalu — keputusan yang meletakkan mereka di ambang penyingkiran ke Divisyen Satu.