JOHOR Darul Ta’zim berjaya layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC apabila menewaskan juara edisi 2020, Ulsan Hyundai 2-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim.
Jaringan gol sendiri oleh pemain pertahanan Ulsan Hyundai pada minit terakhir permainan memberikan kemenangan buat JDT sekaligus mencipta sejarah layak ke peringkat 16 terbaik buat pertama kali.
Turun dengan semangat mahu mencari kemenangan untuk layak, JDT menyerang kubu Ulsan dari awal tetapi Bergson gagal menyudahkan hantaran Arif Aiman pada minit kedua.
Stadium Sultan Ibrahim bergema pada minit kelima apabila Leandro Velasquez melepaskan satu sepakan penjuru cantik untuk menewaskan penjaga gol Ulsan, Jo Hyeon-woo untuk JDT mendahului 1-0.
Namun begitu seminit kemudian, Ulsan berjaya menyamakan kedudukan apabila kesilapan barisan pertahanan yang gagal mengeluarkan bola dengan baik membenarkan Jun Amano untuk merembat melepasi jangkauan Farizal Marlias.
Malang buat JDT apabila Natxo Insa terpaksa dibawa keluar akibat kecederaan dan tempat beliau digantikan oleh Nathaniel Hong sebelum gol Fernando Forestieri dibatalkan akibat ofsaid yang dipertikaikan.
Kedua-dua pasukan jelas terkesan dengan cuaca yang panas tetapi pemain Ulsan dilihat lebih keletihan dengan mereka terpaksa memperlahankan sedikit rentak perlawanan untuk keputusan 1-1 kekal hingga tamat babak pertama.
Tidak banyak perubahan berlaku pada separuh masa kedua dengan JDT banyak melakukan serangan demi serangan tetapi masih gagal menjaringkan gol manakala Ulsan sekali sekala cuba melakukan serangan balas.
Safawi Rasid dibawa masuk menggantikan Afiq Fazail dan JDT terus menggunakan bahagian sayap sebagai pusat serangan dan mengharapkan bola tiba kepada Bergson Da Silva yang dikawal ketat.
Rembatan Ramadhan ditepis penjaga gol manakala rembatan Safawi terkena tiang gol pada minit-minit terakhir sebelum hantaran lintang Arif Aiman tertampan ke gawang sendiri untuk menggamatkan Stadium Sultan Ibrahim.
Dalam satu lagi perlawanan yang dilangsungkan serentak di Stadium Larkin, Kawasaki Frontale berjaya menewaskan Guangzhou FC 1-0 namun kemenangan JDT menafikan mereka untuk layak.