PENYERANG utama Real Madrid, Kylian Mbappé, mengalami kecederaan serius pada paha kirinya, menyebabkan dia diragui untuk tampil dalam perlawanan akhir Piala Intercontinental minggu depan.

Mbappé terpaksa digantikan pada separuh masa pertama ketika Real Madrid meraih kemenangan 3-2 ke atas Atalanta dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah. Walaupun dia sempat membuka jaringan pada minit ke-10, kecederaan itu membayangi malam cemerlangnya.

Pihak perubatan Real Madrid menjangkakan tempoh pemulihan Mbappé adalah sekitar 10 hari, namun kepulangannya ke padang bergantung kepada perkembangan pemulihan hariannya.

Kecederaan Mbappé menambah panjang senarai pemain Real Madrid yang tidak dapat beraksi, sekali gus mencetuskan cabaran besar buat pasukan dalam fasa musim yang penuh tekanan ini.

Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti, tidak menyembunyikan kekecewaannya terhadap situasi tersebut. Beliau menyalahkan jadual perlawanan yang padat serta kekurangan squad depth sebagai punca utama rentetan kecederaan yang dialami para pemain.

“Kalender perlawanan sangat padat, dan kekangan dalam jumlah pemain menyebabkan kami tidak dapat mengatur waktu rehat seperti yang sepatutnya,” kata Ancelotti.

Dengan beberapa perlawanan penting menanti, Real Madrid kini berada dalam situasi genting untuk mengekalkan prestasi tanpa kehadiran salah seorang pemain terpenting mereka.

Laporan awal daripada Marca dan AS menyatakan bahawa kecederaan serius seperti ini biasanya memerlukan tempoh rehat sekurang-kurangnya 10 hari. Ini bermakna Mbappé sudah pasti akan terlepas perlawanan liga menentang Rayo Vallecano pada hari Sabtu ini.

Selain itu, Real Madrid juga dijadualkan bertanding dalam perlawanan akhir Piala Intercontinental pada 19 Disember. Pertandingan yang berlangsung di Qatar ini merupakan kesinambungan daripada format Piala Dunia Kelab FIFA yang lama.

Pasukan gergasi Sepanyol itu bakal berdepan sama ada Al Ahly dari Mesir atau Pachuca dari Mexico, yang sebelum ini berjaya menewaskan Botafogo dari Brazil. Malangnya, Mbappé tidak akan dapat menyertai skuadnya dalam perlawanan berprestij ini.

Ketiadaan Mbappé sudah tentu akan memberi impak besar terhadap peluang Real Madrid untuk merangkul gelaran juara dalam pertandingan ini.