HANYA tiga mata penuh menjadi misi utama Muangthong United ketika menghadapi Selangor FC di Kelana Jaya pada Khamis bagi memastikan peluang mereka layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC 2 masih terbuka.
Perkara ini diakui penolong jurulatih, Uthai Bunmo yang mahu para pemainnya kekal fokus dalam menghadapi apa jua keadaan termasuk cuaca dan padang di Stadium MBPJ bagi memastikan tiga mata penuh berjaya dibawa pulang.
“Perlawanan ini adalah sangat penting buat kami kerana hanya mahukan tiga mata dan semua pemain dalam keadaan bersedia dan bersemangat untuk menghadapi perlawanan ini.

Uthai Bunmo dan Tristan Do ketika sesi sidang media pra perlawanan
“Kami perlu memenangi perlawanan ini kerana tidak ada pilihan lain dan tidak terganggu dengan segala perubahan yang berlaku pada pasukan Selangor kerana fokus kami hanya kepada diri sendiri dan perlawanan penting ini,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.
Perkara ini turut diakui pemain pertahanan, Tristan Do yang sedar akan tekanan yang dihadapi pasukannya bagi memastikan tiga mata penuh namun dia menganggap ini adalah perkara yang biasa dalam bola sepak.
“Sudah tentu tekanan lebih kepada kami kerana Selangor mempunyai pilihan manakala kami hanya kemenangan akan menjamin pasukan kekal dalam saingan ini namun ini semua adalah sebahagian daripada bola sepak dan kami sudah bersedia untuk mengharunginya,” jelasnya.

Muangthong United gigih menjalani latihan menjelang aksi bertemu Selangor FC
Tristan turut menyatakan kekuatan Selangor terletak pada pemain di barisan hadapan yang mampu mengubah keputusan perlawanan berdasarkan apa yang ditampilkan ketika aksi pertama di Bangkok, September lalu.
Muangthong United perlu mendapatkan tiga mata untuk kekal dalam ACL2 dan pastinya satu aksi yang menarik akan ditampilkan dalam perlawanan esok.