PERUNTUKAN RM58 juta untuk sektor sukan dalam Belanjawan Johor 2026 membuktikan negeri itu tidak menunggu perubahan sebaliknya memilih untuk mencipta sejarah sukan sendiri.

Pada Belanjawan Johor 2026, Khamis lalu, kerajaan mengumumkan Johor Khabib Gym menerima dana RM10 juta dijangka menjadi rumah baharu untuk melahirkan jaguh seni bela diri setanding pentas UFC.

Pembangunan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) di Pengerang juga diperuntukkan RM10 juta bagi menjadi pusat belia paling moden di Selatan tanah air.

TMIYC Activator bernilai RM500,000 pula melengkapkan rangka kerja pembangunan bakat belia, melalui program yang lebih tersusun, interaktif dan inklusif.

Akademi Badminton Johor – LCW yang mendapat peruntukan RM5 juta pula membayangkan impian besar Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mencetak bintang badminton kelas dunia dari gelanggang Johor.

Peruntukan RM4 juta pula bagi menaik taraf fasiliti sukan, jelas membawa maksud bahawa Johor tidak mahu atlet berlatih di gelanggang uzur atau ketinggalan zaman.

Pembinaan gelanggang pickleball bernilai RM1 juta menunjukkan Johor tidak sekadar fokus sukan arus perdana, sebaliknya membuka ruang untuk sukan moden dan komuniti.

Selain itu, kerjasama pembangunan bakat sukan permotoran bersama JDT Racing (RM1 juta) serta projek Motorcross (RM300,000) mengesahkan Johor mahu meletakkan dirinya sebagai hab sukan permotoran paling aktif di Malaysia, selari dengan titah TMJ, menuju agenda Sports Nation 2030.