SUMBANGAN bukan sekadar bantuan, tapi tanda penghargaan. Seramai 85 penuntut Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menyelami cabaran hidup sembilan bekas atlet kebangsaan menerusi program Prihatin Sukan: Untukmu Jaguh Negara yang berlangsung di Kompleks Sukan Bukit Kiara, pada Jumaat.

Program anjuran pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan (Kepujian), dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) itu menyaksikan penyampaian sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai kepada bekas-bekas atlet negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Pengerusi YAKEB, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyifatkan inisiatif mahasiswa UiTM itu sebagai satu bentuk penghormatan yang cukup bermakna.

“Kami amat terharu dengan penghargaan ini. Ia membuktikan bekas atlet tidak dilupakan dan terus menjadi inspirasi,” katanya.

Menurut beliau, YAKEB komited meneruskan usaha kebajikan bersama pelbagai pihak termasuk Institut Sukan Negara (ISN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PEKESO), malah sedang merangka lebih banyak program berbentuk pembangunan keusahawanan dan latihan teknikal yang mampu menjana pendapatan untuk golongan bekas atlet.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Dr Shariman Ismadi Ismail berkata, penglibatan aktif pelajar dalam menganjurkan program ini memberi pengalaman bermakna dan menyuntik nilai kemanusiaan dalam diri mereka.

“Mereka bukan sekadar belajar di kelas, tapi turun padang mendekati realiti kehidupan wira negara yang dulu dijulang, kini diuji,” katanya.

Beliau turut menjelaskan program itu sebagai salah satu usaha jangka panjang UiTM dalam memperkukuh jaringan bersama komuniti sukan tanah air.