CHANG Kim Wai kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila dilantik sebagai penolong jurulatih beregu lelaki negara bermula 4 November ini.

Bekas pemain kelahiran Perak berusia 49 tahun itu akan bekerjasama dengan ketua jurulatih, Herry Iman Pierngadi dan jurulatih Mohamad Miftakh bagi memperkukuh lagi dominasi beregu lelaki Malaysia di pentas antarabangsa.

Kim Wai, pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2002 dan gangsa Sukan Asia 2002, turut pernah membantu skuad negara meraih perak dalam kempen Piala Thomas tahun sama.

Menurut Pengarah Beregu BAM, Rexy Mainaky, kehadiran Kim Wai yang sarat pengalaman dan memahami selok-belok permainan beregu akan melengkapkan struktur kejurulatihan sedia ada.

“Gabungan beliau bersama Herry dan Miftakh diyakini mampu melonjakkan prestasi pasangan-pasangan utama serta pelapis negara ke tahap lebih tinggi,” kata Rexy dalam kenyataan yang diedarkan BAM.

Sementara itu, Kim Wai menyifatkan pelantikan itu sebagai satu penghormatan besar dan berjanji akan memberikan sepenuh komitmen untuk membantu Malaysia mencapai lebih banyak kejayaan di arena dunia.