MENTERI Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengucapkan tahniah kepada skuad hoki kebangsaan selepas layak ke Piala Dunia Hoki 2023.

“Alhamdulillah! Syabas dan tahniah buat skuad hoki lelaki kebangsaan yang berjaya layak secara automatik ke saingan Piala Dunia 2023 setelah beraksi cemerlang untuk berada di dalam kelompok “super 4″ di Kejohanan Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia. Bawa bertenang dan terus pamerkan aksi cemerlang!”, ciapan beliau di laman sosial Twitter rasminya.

Speedy Tigers yang beraksi cemerlang di Kejohanan Piala Asia 2022 di Jakarta mengungguli Kumpulan B dengan sembilan mata dan kini akan berentap di pusingan Super Four bagi merebut kejuaraan sulung Piala Asia.

Kemunculan skuad hoki kebangsaan di Piala Dunia bukanlah perkara asing apabila berjaya layak buat kali kesembilan dan ketiga berturut-turut sejak 2014.

Kejohanan Piala Dunia Hoki 2023 akan berlangsung dari 13-29 Januari 2023 di Rourkela, India melibatkan 16 pasukan terbaik dari seluruh dunia.