ATLET dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (Universiti Pendidikan Sultan Idris) berjaya mengharumkan nama negara apabila mewakili kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025 yang berlangsung di Stadium Nasional Suphacalasai, Bangkok dari 9 hingga 20 Disember ini.
Daripada 22 atlet, 21 atlet merupakan pelajar Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKJ), manakala seorang lagi daripada Fakulti Sains dan Matematik (FSM), sekali gus mencerminkan keupayaan UPSI melahirkan atlet berprestasi tinggi merentasi pelbagai bidang akademik.
Antara atlet pelajar UPSI dari program Diploma Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI yang terpilih ialah Danish Iftikhar Muhammad Roslee, atlet olahraga yang juga mengetuai kontinjen 22 atlet pelajar UPSI mewakili Malaysia ke temasya dwitahunan itu.
Atlet UPSI beraksi dalam beberapa cabang sukan utama termasuk baseball (enam atlet), sofbol (tiga), kayak (empat), olahraga (dua) dan bola baling (dua).
Selain itu, universiti berkenaan turut diwakili seorang atlet bagi setiap sukan kabaddi, floorball, bola tampar pantai, hoki ais dan sepak takraw.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata pemilihan itu membuktikan tahap kecemerlangan serta disiplin tinggi pelajar universiti berkenaan yang mampu mengimbangi tuntutan akademik dan latihan sukan di peringkat elit.
“Pencapaian ini adalah hasil perancangan pembangunan sukan yang sistematik dan berterusan, selain sokongan padu fakulti, jurulatih serta Pusat Sukan UPSI dalam membentuk atlet yang berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata penglibatan besar atlet UPSI dalam Sukan SEA turut mencerminkan kepercayaan badan sukan negara terhadap kualiti latihan dan ekosistem pembangunan atlet yang diterapkan oleh universiti itu.
Dalam pada itu, seorang pegawai dari Pusat Sukan UPSI, Mohd Rizal Mohd Hashim, turut dilantik sebagai pegawai pengiring bagi sukan wall climbing, sekali gus menyerlahkan profesionalisme serta kepakaran warga universiti berkenaan dalam pengurusan atlet di peringkat antarabangsa.
“Saya berharap mereka dapat memberikan persembahan terbaik, menjunjung semangat kesukanan dan seterusnya mengharumkan nama Malaysia di pentas Sukan SEA 2025,” ujar beliau.