PENGENDALI Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menyifatkan pencalonannya dalam kelompok tiga finalis kategori Jurulatih Terbaik Liga M Awards 2025-2026 sebagai satu penghargaan terhadap usaha yang dilakukan bersama pasukannya sepanjang musim lalu.
Pemenang kategori itu pada edisi lalu sekali lagi berada dalam senarai akhir, namun memilih untuk tidak meletakkan harapan tinggi memandangkan bakal berdepan persaingan sengit daripada pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz dan jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon.
Menurut Aidil, kedua-dua pencabarnya mempunyai rekod cemerlang bersama pasukan masing-masing sekali gus menjadikan perebutan anugerah berprestij itu sukar diramalkan.
“Pada saya, saban tahun setiap kali saya di Malaysia, saya akan berada di kelompok tiga terbaik selain musim 2022 dan 2023 ketika saya di Indonesia dan saya amat bersyukur apabila tiap kali tercalon.
“Dan akhirnya pada edisi lalu saya dapat meraih trofi ini buat kali pertama, jadi untuk musim 2025-26 saya tidak mahu terlalu berharap sebab saya akui saingan cukup kuat daripada Munoz dan Pan Gon yang juga tidak kurang hebatnya bersama Selangor FC.
“Secara peribadi, dua figura ini cukup kuat untuk dinobatkan sebagai pemenang dan saya tetap bersyukur apabila dicalonkan lagi untuk edisi ini,” katanya.
Munoz membimbing JDT meraih empat trofi domestik buat musim keempat berturut-turut, manakala Kim Pan Gon berjaya membawa Selangor FC bersaing sehingga penghujung musim dalam perebutan gelaran naib juara Liga Super bersama Kuching City.
Dalam perkembangan lain, Aidil kini memberi sepenuh tumpuan terhadap persiapan pramusim Kuching City yang sedang menjalani kem latihan di Chiang Mai, Thailand.
Selain meningkatkan tahap kecergasan pemain, kem berkenaan dimanfaatkan untuk membentuk keserasian antara sembilan pemain baharu dengan tonggak sedia ada menjelang aksi pembukaan musim.
“Sekarang kami di Chiang Mai, Thailand untuk pra musim dan kita akan berdepan perlawanan persahabatan yang agak sukar sebab akan lawan dengan kelab Chiangrai United FC yang bersaing di Liga Thailand 1.
“Tapi apa pun, pra musim di sini cukup penting untuk saya lihat keserasian antara sembilan pemain baharu dan pemain lama untuk mereka betul-betul memahami corak permainan di sini.
“Dalam masa sama, kita akan tengok balik dekat mana kelemahan yang boleh diperbaiki sebelum aksi penting Perlawanan Sumbangsih lawan JDT nanti,” katanya.
Kuching City dijadual membuka tirai musim baharu menerusi Perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Haji Ahmad Shah menentang JDT pada 21 Ogos.
Liga M Awards 2025-2026 anjuran Malaysian Football League (MFL) akan berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur pada 12 Ogos ini, dengan pemenang dipilih selepas proses undian melibatkan ketua jurulatih, ketua pasukan Liga Malaysia serta wakil media. Malam anugerah itu akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Sukan+ dan RTMKlik.