Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mahu keputusan mengenai sama ada beliau akan meneruskan cabaran ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) dimuktamadkan sebelum bermulanya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bulan depan.
Menurut pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu, keputusan berkenaan perlu dibuat lebih awal memandangkan proses kelayakan ke Olimpik melibatkan perancangan yang rapi serta komitmen tinggi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan itu bukan bergantung kepada kehendak peribadinya, sebaliknya sama ada khidmatnya masih diperlukan oleh negara.
“Ini bukan tentang saya nak pergi Olimpik LA atau tidak, tapi sama ada Malaysia atau pasukan Malaysia memerlukan saya atau tidak.
“Jika pasukan Malaysia atau Malaysia memerlukan khidmat saya, saya akan boleh buat perancangan,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Glasgow.
Azizulhasni berkata, beliau perlu mengadakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sebelum membuat keputusan muktamad mengenai perancangannya.
Menurutnya, laluan kelayakan ke Olimpik LA28 bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan penyertaan dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.
“Bagi Olimpik akan datang, kelayakannya sangat rumit. Banyak kejohanan yang kita perlu sertai seperti Kelas 1, Kelas 2, banyak travel, Piala Dunia pun banyak. Jadi, akan melibatkan banyak perkara yang perlu dibincangkan,” katanya.
Buat masa ini, fokus utama Azizulhasni adalah untuk membuat persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya yang dijadual membuka tirainya pada 19 September.
Dalam masa sama, pemenang pingat emas acara keirin di Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu mengakui beliau berasa puas sekiranya dapat menamatkan karier ketika masih berada di kemuncak prestasi.
“Secara jujur, kalau boleh nak gantung basikal hari ini saja. Saya sangat gembira untuk akhiri kerjaya saya pada kemuncak. Saya rasa macam anugerah daripada Allah apabila menang di Glasgow baru-baru ini,” katanya.
Azizulhasni turut berharap kejayaannya bersaing di pentas dunia pada usia 38 tahun dapat menjadi sumber inspirasi kepada atlet muda negara.
Untuk rekod, beliau akhirnya menamatkan penantian selama 16 tahun untuk bergelar juara Sukan Komanwel selepas meraih pingat emas acara keirin di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow.