KETUA jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak melahirkan rasa ralat selepas pasukannya tewas tipis 0-1 kepada Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, malam tadi, meskipun mempamerkan penguasaan permainan yang meyakinkan.

Dalam perlawanan tumpuan itu, Selangor berjaya meraih tiga mata penuh hasil jaringan lewat penyerang import, Chrigor Moraes yang memecah kebuntuan ketika aksi seakan-akan menuju keputusan seri.

Kekalahan berkenaan menyaksikan Kuching City tumbang buat kali ketiga dalam saingan Liga Super musim ini, namun corak permainan yang ditampilkan jelas memperlihatkan peningkatan ketara berbanding musim lalu.

Aidil mengakui kecewa dengan keputusan akhir, tetapi tetap berbangga dengan komitmen serta disiplin yang dipamerkan anak buahnya sepanjang 90 minit permainan.

“Pertama sekali, tahniah kepada Selangor kerana meraih tiga mata namun saya rasa pemain-pemain saya tidak sepatutnya kalah.

“Kami mencipta banyak peluang dan mengawal permainan dengan baik tetapi inilah bola sepak, kami perlu terima dan belajar daripada kekalahan ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Menurut pengendali berusia 47 tahun itu, barisan pemainnya menunjukkan perkembangan positif dan semakin hampir untuk bersaing secara konsisten dengan kelompok atasan liga.

“Ini juga merupakan kekalahan ke-3 kami dalam saingan liga. Jadi saya tetap memberikan pujian kepada para pemain saya atas usaha dan sumbangan mereka.

“Mereka bekerja sangat keras malam ini untuk memastikan kualiti permainan Kuching City. Sebelum ini kami belum berada pada tahap tersebut, tetapi sedikit demi sedikit kami semakin hampir. Namun kami perlu menerima hakikat bahawa kami tewas kepada pasukan yang lebih baik,” katanya.

Kemenangan tersebut membolehkan Selangor terus kekal di tangga kedua Liga Super, manakala Kuching City kini menghuni kedudukan keempat dengan kelebihan satu perlawanan berbanding beberapa pencabar terdekat.

Walaupun pulang tanpa mata, persembahan yang ditampilkan memberi isyarat jelas bahawa Kuching City bukan lagi pasukan pelengkap jadual, sebaliknya semakin berupaya mencabar pasukan gergasi sekiranya konsistensi dan ketajaman penyudah dapat dipertingkatkan dalam aksi seterusnya.