HARAPAN untuk melihat Arif Aiman Hanapi kembali memperkuatkan Harimau Malaya dalam aksi penting Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 31 Mac ini semakin tipis apabila pemain sayap lincah itu dijangka belum pulih sepenuhnya daripada pembedahan.

Menurut artikel New Straits Times, Ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski mengakui peluang Arif untuk kembali tepat pada masanya amat sukar, sekali gus memaksa skuad kebangsaan merancang alternatif bagi menghadapi pertembungan getir Kumpulan F di Hanoi.

“Ya, saya rasa Arif mungkin belum bersedia. Kita harap ada keajaiban, tetapi buat masa ini saya lebih cenderung mengatakan tidak,” katanya.

Arif, 24, diketepikan sejak November lalu selepas mengalami kecederaan hamstring ketika aksi kelayakan menentang Nepal. Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sudah menjalani pembedahan dan kini dalam proses pemulihan.

Kehilangannya pasti dirasai memandangkan Arif antara tonggak penting skuad negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Di peringkat kelab, beliau sudah meledak 61 gol dan mencipta 66 bantuan jaringan bersama JDT, manakala di pentas antarabangsa mengumpul 40 kaps serta lapan gol.

Dalam perkembangan sama, Cklamovski mengesahkan dua pemain naturalisasi baharu, penyerang JDT Bergson da Silva dan pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco semakin hampir memperoleh pasport Malaysia dan dijangka tersedia menjelang kem latihan pusat bermula 23 Mac ini.

Bergson Da Silva

“Dia senjata berbahaya. Bergson akan tersedia sebelum kem. Saya sudah bercakap dengannya, dia lapar dan mahu melakukan sesuatu yang istimewa bersama pasukan kebangsaan,” kata Cklamovski.

Penyerang berusia 35 tahun itu tampil prolifik bersama JDT dengan 176 gol sejak 2021 termasuk 32 gol sepanjang 2025 dan 16 jaringan awal musim 2026, menjadikannya antara penyerang paling digeruni di Asia Tenggara.

Giancarlo Gallifuoco ketika aksi pramusim dengan KL City

pula dijangka melengkapkan dokumentasi sebelum kem bermula, manakala Manuel Hidalgo hanya dijangka memperoleh kelulusan pada April dan bakal terlepas aksi menentang Vietnam. Jurulatih itu turut membayangkan pemain tengah JDT, Nacho Mendez berpotensi menyarung jersi kebangsaan dalam masa terdekat.

 

Optimisme terhadap kemasukan pemain naturalisasi hadir ketika isu penggantungan tujuh pemain warisan oleh FIFA masih belum menemui titik akhir. FAM bersama tujuh pemain terbabit sudah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan keputusan dijangka diketahui selepas pendengaran pada 26 Februari.

Malaysia dijadual bertemu Vietnam di Hanoi pada 31 Mac dalam aksi yang boleh menentukan laluan ke Piala Asia 2027, dengan misi utama adalah mengelak kekalahan besar bagi mengesahkan kemaraan, di tengah kemungkinan keputusan terdahulu boleh ditukar sekiranya rayuan tidak memihak kepada skuad negara.