MALAYSIA terus mengukuhkan status sebagai kuasa besar e-sukan dunia apabila mempertahankan gelaran juara dunia dalam acara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) selepas menumpaskan Kemboja 3-0 dalam final Kejohanan Dunia IESF 2025 di Quill City Mall, Kuala Lumpur, malam tadi sekali gus membuktikan dominasi yang bukan sekadar sementara, tetapi berterusan.
Skuad negara yang dibarisi Idreen Jamal (Momo), Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie) dan Ealtond Rayner (Lolealz) tampil garang sejak awal permainan, mempamerkan keserasian, mekanik individu mantap serta serangan agresif yang langsung tidak memberi ruang kepada lawan.
Kemboja diperkuatkan Oppi, Detective, Xing, Wadu dan Boxi turun dengan reputasi tinggi selepas kemaraan bergaya ke final, namun rentak permainan mereka dipatahkan setiap kali cuba bangkit. Malaysia pula kekal konsisten mengawal peta, menguasai objektif dan menutup setiap game dengan disiplin taktikal yang jelas memisahkan kedua-dua pasukan.
Kejayaan ini merupakan lanjutan prestasi gemilang selepas Malaysia turut muncul juara dunia pada edisi 2024 di Riyadh, Arab Saudi, ketika menundukkan Filipina 2-0 dalam aksi final. Dua tahun berturut-turut menguasai pentas dunia meletakkan Malaysia sebagai antara pasukan paling stabil, matang dan digeruni dalam arena MLBB global.
Dengan kemenangan penuh bergaya di laman sendiri kali ini, skuad MLBB negara bukan sahaja mengekalkan mahkota dunia, tetapi menghantar mesej jelas Malaysia kini berada di puncak e-sukan MLBB, dan cabaran untuk menjatuhkan mereka semakin sukar.