KERAJAAN Negeri Johor meluluskan peruntukan RM5 juta bagi membangunkan Akademi Badminton Johor-LCW, sekali gus menyalakan impian Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, untuk melahirkan pemain berkelas dunia.

Usaha ini menjadi titik mula revolusi badminton Johor apabila projek berprestij itu bakal dibangunkan di Bandar Sukan (Sports City) negeri terbabit, selepas kerajaan negeri membentangkan Belanjawan Johor 2026, semalam.

Datuk Seri Lee Chong Wei mengesahkan bahawa perbincangan bersama kerajaan negeri Johor sudah lama berlangsung untuk merealisasikan projek berimpak tinggi ini.

“Plan semua dah keluar dan akademi ini memang special kerana ia hasil perbincangan rasmi dengan Kerajaan Negeri Johor, terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor juga yang membawa idea ini,” kata Chong Wei ketika dihubungi Flash Sukan.

Untuk rekod, Johor sudah melahirkan ramai pemain berkelas dunia, termasuk Nur Izzuddin Rumsani, Tan Wee Kiong, Yap Kim Hock, Ng Tze Yong, Teo Ee Yi serta Teo Kok Siang.