MAN Wei Chong-Tee Kai Wun memilih untuk menutup mata dan telinga daripada memikirkan perebutan slot Jelajah Dunia Akhir, sebaliknya kekal fokus menyiapkan diri untuk cabaran Terbuka Australia minggu hadapan.
Wei Chong mengakui kekalahan pusingan pertama di Masters Kumamoto, Jepun minggu ini, berpunca daripada prestasi dirinya sendiri.
Jelasnya lagi, kecederaan Kai Wun bukan alasan utama tewas kerana “injury itu mungkin adalah tapi bukan main point, memang performance hari itu pun tak bagus.”

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mara ke separuh akhir Masters Kumamoto, Jepun dan perlu sekurang-kurang ke final untuk menghidupkan peluang ke Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025.
Mengulas persaingan rapat dengan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk tiket ke Jelajah Dunia Akhir, Wei Chong tampil tenang sambil berkata, “kalau mereka perform bagus, dia orang pergilah… best man win lah.”
Bagaimanapun, beliau menegaskan fokus mereka kekal pada Terbuka Australia kerana “kita pun ada barang kita nak buat… fokus Australia juga, bukan tengok dia orang menang ke kalah.”
Menurutnya, keputusan sama ada mereka perlu ke Australia atau tidak hanya bergantung kepada arahan jurulatih.
Ketika ini, Wei Chong-Kai Wun berada di ranking ketiga Jelajah Dunia di belakang Aaron Chia-Soh Wooi Yik (2), manakala Sze Fei-Nur Izzuddin di tangga ketujuh.
Hanya dua wakil dari satu negara dalam ranking Top 8 dapat melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China Disember depan, dan Sze Fei-Nur Izzuddin wajib menjuarai Masters Kumamoto untuk menghidupkan peluang itu.