SUASANA kem Harimau Malaya terus berada pada landasan meyakinkan apabila ketua jurulatih, Peter Cklamovski menyifatkan empat hari pertama latihan sebagai permulaan yang positif menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada Selasa ini.
Menurut Cklamovski, fasa awal kem kali ini berjalan teratur dengan perancangan yang tepat, khususnya ketika menguruskan beban kerja pemain selepas jadual padat bulan lalu. “Dua hari pertama kami pecahkan kumpulan — ada pemain fokus kepada pemulihan, manakala sebahagian lagi menjalani latihan,” jelasnya.
Hari ketiga menyaksikan skuad kebangsaan tampil buat pertama kali dengan sesi latihan penuh, sesuatu yang memberi gambaran jelas terhadap intensiti pasukan. “Semalam adalah sesi yang sangat baik, latihan penuh pertama dengan keseluruhan pasukan,” tambahnya.
Cklamovski menekankan bahawa dua kemenangan penting pada Oktober lalu perlu dijadikan pemangkin moral bagi mengekalkan momentum ke kem kali ini. “Penting untuk kami bawa semangat enam mata pada Oktober ke dalam kem ini dan ke perlawanan sukar menentang Nepal,” katanya.
Selain itu, beliau memaklumkan pasukan turut melakukan sesi analisis dua hari lalu bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan, terutama dalam aspek taktikal agar lebih bersedia menghadapi apa jua corak permainan lawan. “Kami telah menilai semula perlawanan lalu dari sudut analisis bagaimana kami boleh perbaiki permainan menentang mana-mana pasukan,” ujarnya.
Selepas empat hari latihan intensif, pemain menikmati cuti sehari hari ini — ruang untuk berehat, memulihkan badan dan meluangkan masa bersama keluarga sebelum kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada misi mengutip tiga mata menentang Nepal.
Dengan persiapan yang semakin mantap dan keyakinan yang terus meningkat, Harimau Malaya kini bersedia melangkah ke tugasan seterusnya dengan tekad mengukuhkan perjalanan menuju Piala Asia 2027.