PERASMIAN Akademi Sepak Takraw Malaysia oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi simbol komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan sukan tradisi negara.
Majlis tersebut menyaksikan hasil peruntukan sebanyak RM6 juta bagi menaik taraf fasiliti akademi demi melahirkan atlet bertaraf tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyaluran tambahan dana RM2 juta bagi memperkukuh program latihan serta keperluan atlet.
Kemudahan yang lengkap dan moden dilihat mampu menjadi platform terbaik dalam membangunkan bakat muda dari peringkat akar umbi hingga ke pentas antarabangsa.
Usaha ini selari dengan peranan Persatuan Sepak Takraw Malaysia yang konsisten mengangkat martabat sukan ini di dalam dan luar negara.
Kejayaan meraih pingat emas selepas penantian 34 tahun pada kejohanan di Thailand Disember lalu menjadi bukti kebangkitan semula sepak takraw Malaysia.
Malaysia juga bakal menjadi tuan rumah kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw dengan Menteri Belia dan Sukan , Dr. Mohammed Taufiq Johari turut mengumumkan tambahan dana termasuk RM1 juta.
“Inisiatif ini bukan sahaja mengangkat semula populariti sepak takraw, malah membuka peluang kepada negara untuk kembali menjadi kuasa besar di peringkat dunia,” tambahnya.
Dalam masa sama, beliau mengatakan pembangunan sukan ini turut diberi penekanan di peringkat komuniti dan sekolah sebagai medium penyatuan masyarakat berbilang kaum.
Beliau turut menambah bahawa RM 825 ribu akan disalurkan buat Piala Dunia Berbasikal Trek UCI 2026 di Nilai yang akan berlangsung pada 24 hingga 26 April ini.