AKAUN Instagram pemain kebangsaan Indonesia, Yakob Sayuri, menjadi tumpuan selepas beliau dikatakan menjadi punca utama kekalahan skuad Garuda 2-3 kepada Arab Saudi dalam aksi pusingan ke-4 Kelayakan Piala Dunia 2026 awal pagi Khamis.
Yakob berdepan kritikan hebat daripada penyokong sendiri apabila melakukan kesilapan di dalam kotak penalti dengan menarik pemain lawan sehingga menghadiahkan sepakan penalti kepada Arab Saudi, sekali gus mengubah kedudukan menjadi 2-1. Kesilapan itu dianggap titik perubahan yang memusnahkan peluang Indonesia untuk sekurang-kurangnya mencuri mata di Jeddah.
Selain penalti tersebut, prestasi Yakob turut dipersoal selepas beberapa serangan berbahaya Arab Saudi berpunca daripada bahagian kawalannya. Segelintir penyokong meluahkan rasa kecewa di media sosial dengan menyerang ruangan komen akaun peribadi pemain itu.

Namun begitu, di sebalik kritikan melampau tersebut, ada juga penyokong yang tampil mempertahankan Yakob dan mengingatkan bahawa kesilapan adalah sebahagian daripada permainan bola sepak. Mereka menyeru agar penyokong terus memberi sokongan moral menjelang aksi sukar menentang Iraq pada 12 Oktober ini.
Di atas padang, kekalahan tersebut menamatkan impian Indonesia untuk memulakan kempen pusingan ke-4 dengan langkah kanan. Aksi di Stadium Alinma, Jeddah menyaksikan Arab Saudi tampil lebih dominan di hadapan penyokong sendiri untuk mencatat kemenangan 3-2 yang meletakkan mereka di puncak Kumpulan B dengan tiga mata.
Sementara itu, skuad kendalian Patrick Kluivert kini berada di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata dan perlu segera memperbaiki kelemahan pertahanan jika mahu bangkit dalam perlawanan seterusnya.