TIGA wakil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berada dalam jawatankuasa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk penggal 2025-2029, termasuk Presiden Kehormatnya, Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Hamidin yang juga Ahli Majlis FIFA kini turut diberi mandat menjadi Delegasi Jawatankuasa Media dan Komunikasi FIFA.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram pula menjadi Ahli Jawatankuasa Teknologi dan Pembangunan Teknikal, Inovasi dan Transformasi FIFA.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob ialah Ahli Jawatankuasa Pertandingan Pasukan Wanita Kebangsaan FIFA.
Selain itu, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John pula menjadi sebahagian daripada Kumpulan Koordinasi Konfederasi FIFA. Turut tersenarai ialah Dr. Gurcharan Singh, yang kekal sebagai Ahli Jawatankuasa Perubatan FIFA.
Ia berdasarkan semakan terkini senarai ahli jawatankuasa badan induk bola sepak antarabangsa itu, baru-baru ini, sekaligus mencerminkan peranan yang semakin besar untuk Malaysia dalam mentadbir urusan bola sepak global.
Pelantikan ini memperkukuh pengaruh Malaysia dalam pelbagai aspek pentadbiran bola sepak antarabangsa, meliputi bidang komunikasi, pembangunan teknikal, perubatan serta etika dan integriti, lalu menandakan pengiktirafan terhadap sumbangan dan keupayaan wakil negara di peringkat global.