India mengesahkan keputusan menarik diri daripada saingan FIFA ASEAN Cup 2026 selepas komitmen untuk berdepan Brazil dalam aksi persahabatan bertembung dengan perancangan mereka bagi kejohanan berkenaan.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF), Kalyan Chaubey, mengesahkan keputusan itu sambil mengakui ia bukan pilihan yang mudah buat pihaknya.
Menurut Chaubey, kekangan jumlah perlawanan yang boleh dimainkan dalam kalendar antarabangsa FIFA turut menjadi antara faktor India memilih untuk memberi keutamaan kepada aksi menentang Brazil.
“Kami tidak dapat menyertai FIFA ASEAN Cup kerana komitmen kami dengan Persekutuan Bola Sepak Brazil. Terdapat juga masalah teknikal kerana hanya empat perlawanan yang boleh dimainkan semasa kalendar (perlawanan antarabangsa FIFA),” katanya seperti dilaporkan The Times of India.
Beliau berkata, AIFF sudah memaklumkan FIFA mengenai keputusan berkenaan, termasuk sebab yang mendorong India menarik diri daripada kejohanan tersebut.
Chaubey menyifatkan pertemuan dengan Brazil sebagai peluang yang amat bernilai buat pemain India untuk menguji kemampuan menentang salah satu kuasa besar bola sepak dunia, selain membantu meningkatkan populariti sukan itu di negara berkenaan.
“Bermain dengan Brazil mungkin peluang sekali seumur hidup untuk pemain India. Ia adalah sesuatu yang boleh mempromosikan sukan ini di seluruh negara kita,” katanya.
Walaupun tidak akan beraksi dalam FIFA ASEAN Cup, India merancang menggunakan jendela antarabangsa berkenaan untuk mengatur dua lagi perlawanan persahabatan menentang pasukan yang mempunyai kedudukan ranking lebih tinggi.
Chaubey berkata keputusan itu dibuat dengan harapan pemain kendalian Khalid Jamil dapat memperoleh pengalaman berharga menerusi perlawanan kompetitif menentang lawan berkualiti.
“FIFA ASEAN Cup merupakan pertandingan yang penting dan telah menarik minat ramai. Kami pasti akan merinduinya,” katanya.
India bagaimanapun berdepan kemungkinan dikenakan denda 15,000 Swiss franc (RM75,400) sekiranya tertakluk kepada peraturan kejohanan berhubung penarikan diri kurang daripada 30 hari sebelum perlawanan pertama.
Chaubey percaya India tidak akan dikenakan hukuman tersebut selepas pihaknya menghantar penjelasan terperinci mengenai keputusan berkenaan kepada Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom.