PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan 25 pemain yang bakal ke kem latihan pusat Harimau Malaya B-23 bermula 13 Ogos 2023 sebagai persiapan ke Kejuaraan AFF B-23 di Thailand pada September.

Dari 25 pemain yang disenaraikan, tiga pemain dari skuad Piala MFL Penang FC, Alif Ikmalrizal, Haziq Kutty dan Shafi Azswad telah terpilih sekaligus menimbulkan rasa bangga buat ketua jurulatih, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

“Alhamdulillah tiga pemain Penang FC terpilih ke kem latihan pusat Piala AFF B-23 kali ini. Banyak pemain utama tidak dipanggil kerana terlibat dengan tugasan di Liga Super dan Piala Malaysia dan ini peluang buat pemain baharu untuk dinilai oleh E. Elavarasan.

“Sebagai jurulatih Penang FC, saya gembira kerana peluang yang diberi kepada tiga pemain ini. Walaupun kami gagal ke peringkat Liga Juara, tetapi keupayaan pemain ini dalam Piala MFL telah dilihat oleh jurulatih kebangsaan.

“Saya berharap mereka dapat memikat hati barisan kejurulatihan dan terpilih dalam kesebelasan utama yang akan ke Thailand untuk Piala AFF nanti,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Alif Ikmalrizal, pemain penyerang berjaya menjaringkan tiga gol buat Penang FC dan manakala Shafi Azswad yang bermain di posisi tengah pula telah menyumbang dua gol selain mencipta peluang untuk barisan serangan.

Haziq Kutty Abba

Haziq Kutty Abba pernah berkata kepada FLASH SUKAN yang dia mahu membuktikan kemampuan dirinya untuk memikat hati E. Elavarasan dan kini dia berjaya mengikut jejak langkah abangnya, Syamer Kutty Abba menyarung jersi kebangsaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua adik pemain ternama perkuat barisan Penang B-23

Sementara itu, satu-satunya pemain dari Liga MBSB Bank Championship, Hazim Abu Zaid dari pasukan Imigresen FC telah dipilih untuk berada dalam skuad B-23.

Imigresen FC menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman sosial rasmi kelab berkata IFC akan terus komited dan berusaha dalam melahirkan pemain yang mampu bermain di peringkat antarabangsa dan menjadi platform terbaik untuk pemain memajukan diri dalam bola sepak.