Select Page

Aksi 7 bintang di Stadium Paroi catat jumlah kehadiran penyokong tertinggi untuk minggu ketiga Liga Super

Aksi 7 bintang di Stadium Paroi catat jumlah kehadiran penyokong tertinggi untuk minggu ketiga Liga Super

 

LIGA Super Malaysia terus mendapat sokongan para penyokong bola sepak tempatan apabila mencatatkan angka kehadiran penyokong sebanyak 57,758 orang di tujuh venue berbeza untuk minggu ketiga.

Aksi tujuh bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika membelasah Negeri Sembilan FC 7-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Isnin mencatatkan angka kehadiran sebanyak 15,427 ke stadium yang menyaksikan Harimau Selatan mengamuk sekaligus kembali menerajui takhta liga dengan mata maksimum dari tiga perlawanan awal.

Di Gong Badak, meskipun Terengganu FC mengalami permulaan musim yang lembab dengan masih mencari gol pertama musim ini namun aksi mereka masih mendapat perhatian para penyokong dengan kehadiran sebanyak 11,560 orang.

 

Buat minggu kedua berturut-turut, Stadium Darul Aman menyaksikan kehadiran penyokong yang ramai kali ini seramai 12,792 penyokong hadir tetapi dikecewakan dengan kekalahan Kedah kepada PDRM yang mengundang sedikit kekacauan penyokong di luar stadium.

Perlawanan petang dalam keadaan cuaca yang berubah-ubah di Kelana Jaya antara Selangor dan Sri Pahang disaksikan 8,504 penyokong, angka tertinggi yang dicatatkan untuk perlawanan sebelah petang setakat ini.

Borneo derbi antara Kuching City dan Sabah FC menarik minat 2,500 penyokong ke Stadium Negeri, Kuching yang menyaksikan skuad Badak menang 2-1 dalam aksi yang terganggu akibat keadaan padang yang kurang memuaskan.

Dua aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu antara Kelantan United dan Perak pada Sabtu serta Kelantan dan Penang FC pada Ahad disaksikan oleh 964 orang dan 6,011 penyokong masing-masing membuktikan penyokong Kelantan sangat menggemari sukan bola sepak.

Purata penyokong sedikit berkurangan ke 8,251 orang tetapi masih angka yang baik terutama pada aksi-aksi yang dijangka menarik dan minggu keempat sekali lagi akan menjadi tumpuan para penyokong.

Video Terkini

Loading...