KETUA Jurulatih Negeri Sembilan FC, K.Devan mengakui kualiti yang dimiliki Johor Darul Ta’zim memisahkan kedua-dua pasukan dengan jaringan yang begitu besar 7-0.

Jelasnya, Negeri Sembilan adalah sebuah pasukan yang baharu dibentuk dalam dua tahun untuk menjadi sebuah pasukan yang kuat.

Menurut Devan, sekiranya ingin mencabar JDT, The Jangs memerlukan tempoh lebih kurang 10 tahun bagi menyaingi kehebatan pasukan yang dimiliki sepenuhnya Tunku Mahkota Johor  (TMJ) dan seluruh rakyat Johor.

“Kita tahu kita kalah kepada pasukan terbaik dalam negara. Kalau kita hendak bandingkan kualiti kita dengan kualiti mereka memang jauh berbeza. Kalau kita hendak bertanding dengan mereka, kita perlukan lagi sepuluh tahun.

“Kita baharu tubuhkan pasukan ini dalam dua atau tiga tahun. Kita sedang dalam proses membentuk pasukan yang kuat. Kalau banding dengan JDT , mereka sudah sembilan kali juara dan mereka bermain dalam Liga Juara Asia,” ujarnya ketika ditemui sidang media selepas perlawanan di Stadium Paroi, Negeri Sembilan.

Di samping itu, dia menjelaskan akan melihat semula video dan menganalisis kesilapan yang dilakukan skuad tersebut terutama pada babak kedua.

“Saya harus tengok video semula untuk mencari di mana kesilapan yang berlaku terutama di babak kedua terutama apabila kita dibolosi dengan lima gol,” tegasnya.

Mengulas ketiadaan beberapa pemain import seperti Herold Goulon dan Casagrande, Devan menyifatkan ramai pemain import tidak diturunkan kerana mereka masih belum mencapai tahap kecergasan sepenuhnya.

Selain itu, ramai juga pemain import yang baru sahaja menyertai skuad tiga hari sebelum bermulanya aksi pembukaan Liga Super, ia sediki sebanyak memberi kesan kepada persembahan mereka.

“Bukan Herold Goulon sahaja, kita main dengan dua import. Casagrande sampai sini tiga hari sebelum perlawanan pertama. Dia juga tidak cergas. Dia telah cuba bermain tiga perlawanan dalam sembilan hari.

“Hari ini kita tengok serangan kita pun tidak efektif. Saya rasa bukan Goulon sahaja tetapi kita perlu meningkatkan kecergasan pemain import. Walaupun kita dah bermain tiga perlawanan, kita bukan dalam keadaan yang terbaik,” jelasnya.

Sementara itu, Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menegaskan pemain sedar kemenangan besar penting bagi mereka mengembalikan keyakinan dan kemampuan skuad tersebut sebagai ‘raja’ bola sepak di Malaysia.

Keserasian kesemua pemain juga dilihat menjadi tonik mengapa lawan sukar menghidu taktikal dalam perlawanan hari ini.

“Semua pemain tahu ini merupakan kemenangan penting bagi kita. Kita semakin berkembang dan permainan menjadi baik. Keserasian pemain juga membantu pasukan terus bernafsu memburu jaringan.

“Sudah tentu kita gembira dengan keputusan. Mereka bermain dengan baik, bertahan dengan baik. Kita beraksi lebih baik dan berjaya menang perlawanan hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, dia menyatakan kecederaan yang dialami Leandro Velasquez adalah koyak pada bahagian betisnya mengakibatkan dia terpaksa diusung keluar dan digantikan dengan Juan Muniz.

Lebih membimbangkan, dia tidak mengetahui tahap kecederaan yang dialami pemain tersebut namun berharap dia dapat kembali menemui rentak selepas pulih.

“Leandro ada mengalami kecederaan dan koyak di bahagian betis berhampiran dengan lutut. Kita tidak tahu berapa hari mereka akan berehat. Dia pemain yang penting bagi kita. Kita harapkan dia dapat menemui rentak perlawanan setelah pulih sepenuhnya,” tambahnya lagi.