PEMAIN tengah Selangor FC, Muhammad Abu Khalil, secara rasmi menyertai Nakhonpathom United untuk pusingan kedua Liga 1 Thailand musim 2024/25.
Perjalanan karier Abu Khalil amat mengagumkan. Dia menunjukkan potensi besar bersama Selangor FC II dalam Piala MFL, selain memperoleh pengalaman antarabangsa ketika bersama FC Osaka di Liga J3 Jepun pada awal tahun 2024.
Memetik laporan SNE Sports Co, prestasi pemain berusia 19 tahuni yang cemerlang telah menarik perhatian pencari bakat di seluruh rantau, dan kini, melangkah ke tahap seterusnya bersama Nakhonpathom United.
Abu Khalil merupakan pemain Malaysia kedua yang menyertai Nakhonpathom United musim ini, mengikuti jejak langkah Fergus Tierney.

Pengalaman bersama skuad negara membantu perjalanan Abu Khalil beraksi di Liga Thailand.
Perpindahan ini mencerminkan hubungan yang semakin erat antara liga Malaysia dan Thailand, membuka peluang kepada bakat muda seperti Abu Khalil untuk mendapat pendedahan antarabangsa.
Langkah ini juga menjadi bukti pengaruh pemain bola sepak Malaysia yang semakin menyerlah di liga antarabangsa.
Bagi Abu Khalil, peluang beraksi dalam salah satu liga terkuat di Asia Tenggara ini merupakan lonjakan penting dalam kariernya, membolehkan dirinya meraih pengalaman dan pendedahan di peringkat yang lebih tinggi.
Kredit Foto: Selangor FC