PEMAIN tengah Kuala Lumpur City FC, Brendan Gan, menegaskan bahawa pasukannya masih memiliki peluang untuk mara dalam saingan Shopee Cup, meskipun berdepan cabaran besar menentang Hanoi FC dan Buriram United dalam perlawanan akan datang.

Ketika ditemui selepas sesi Trophy Tour dan Meet and Greet bersama penyokong di Cheras, Brendan menunjukkan keyakinannya terhadap kemampuan KL City untuk mencipta keputusan positif dalam situasi sukar.

“Ya, sudah tentu kami masih ada peluang. Walaupun peluang itu sukar, kami tetap optimis.

“Perlawanan ini bukan seperti format liga di mana kita bermain pusingan demi pusingan, tetapi hanya perlawanan satu pusingan. Jadi, perlawanan seperti ini memberi peluang untuk kami melakukan sedikit kejutan,” kata Brendan.

Brendan bersama Declan Lambert, Safawi Rasid dan Manuel Ott di sesi Trophy Tour dan Meet and Greet bersama penyokong di Cheras.

Brendan turut menambah bahawa KL City mempunyai reputasi sebagai “pakar kejohanan” dan keyakinan tersebut mampu menjadi motivasi untuk menghadapi cabaran besar.

“Anda sudah lihat sebelum ini, KL City dikenali sebagai pasukan pakar kejohanan. Jadi, apabila kami turun, kami akan sentiasa mempunyai peluang untuk mencipta keputusan yang positif,” tambahnya.

Namun begitu, Brendan mengakui bahawa dirinya masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan betis yang dialaminya semasa perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini.

“Kecederaan betis ini agak mengganggu. Ia mungkin memakan masa yang agak panjang, tetapi proses pemulihan berjalan dengan baik. Saya harap dapat kembali beraksi bersama pasukan secepat mungkin,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai jangkaan untuk kembali ke padang, Brendan menjelaskan bahawa ia masih belum pasti.

“Sukar untuk saya nyatakan bila saya akan kembali, tetapi mungkin beberapa minggu lagi.

“Sasaran saya adalah untuk kembali beraksi semasa perlawanan menentang Hanoi, dan jika tidak sempat, mungkin pada perlawanan selepas itu,” katanya dengan penuh harapan.

Sesi Trophy Tour dan Meet and Greet bersama penyokong di Cheras.

Walaupun kehilangan Brendan Gan di atas padang merupakan satu tamparan buat KL City, semangat dan pengalaman yang dimilikinya tetap menjadi dorongan besar buat pasukan.

Dengan rekod kejayaan KL City dalam kejohanan sebelum ini, mereka diyakini mampu memberikan cabaran sengit dalam perlawanan mendatang.

Pasukan KL City kini berada dalam persediaan rapi untuk menghadapi cabaran getir, dan penyokong setia mereka pastinya menaruh harapan tinggi untuk melihat pasukan kesayangan mereka terus melakar kejutan dalam saingan Shopee Cup kali ini.