TIGA beregu lelaki kebangsaan, berada dalam radar perhatian Herry Iman Pierngadi, apabila disifatkan memiliki potensi besar.
Bekas jurulatih dari Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) itu berkata, beliau bagaimanapun tidak menafikan kemampuan lima lagi pasangan dan akan dipantau rapi sebaik memulakan tugasnya Februari hadapan.
“Saya dimaklumkan, ada lapan beregu lelaki dalam skuad kebangsaan.
“Namun, melalui pemerhatian saya dalam kejohanan-kejohanan sebelum ini, tiga gandingan itu (Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Wan Arif Junaidi-Yap Roy King) saya lihat ada kualiti dan boleh terus berkembang.
“Yang lain, saya akan lihat nanti apabila memulakan tugas,” katanya sambil berterima kasih kepada BAM yang memberi kepercayaan kepada dirinya untuk membimbing pemain beregu Malaysia.
Beliau turut menyatakan kesediaannya menyahut cabaran daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membantu beregu lelaki negara memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Semalam (Sabtu), BAM mengumumkan Herry sah sebagai ketua jurulatih beregu lelaki baharu menggantikan Tan Bin Shen yang berhijrah ke Hong Kong.
“Sebagai jurulatih saya perlu yakin dan percaya bahawa pemain Malaysia juga memiliki kualiti,” katanya yang dikenali sebagai Herry IP serta diberi gelaran Naga Api.
Sepanjang menjadi jurulatih di PBSI, kemampuan Herry terbukti dengan membawa Indonesia melahirkan juara Olimpik seperti Tony Gunawan-Candra Wijaya (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008) serta menghasilkan deretan pasangan bertaraf dunia.

Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian antara beregu lelaki di ABM.
Beliau juga bertanggungjawab membentuk gandingan Hendra-Mohammad Ahsan yang menyaksikan mereka memenangi beberapa gelaran dunia dan Seluruh England.
Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo juga berada dibawah bimbingannya sehingga meraih gelaran Seluruh England dan menjadi pasangan beregu lelaki nombor satu dunia.
Dalam pada itu, Herry berkata, beliau memerlukan masa untuk mengenali pemain dan mahu pemain mendapat masa secukupnya untuk mengenali karektor dirinya, bagi memastikan hubungan baik antara jurulatih dan pemain.