SKUAD futsal Sabah mahu membuktikan penyertaan mereka dalam Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) musim 2024 bukan sekadar pelengkap pasukan tetapi mahu muncul sebagai pencabar liga dengan menetapkan sasaran lima terbaik.

Futsal Sabah dilihat sudah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi musim 2024 yang dijangka bermula pada Februari dengan melantik ketua jurulatih berpengalaman dari Thailand, Pat Sriwijit yang pastinya akan memberikan nafas baharu buat skuad negeri di bawah bayu.

Pat juga telah diberikan kuasa penuh oleh pihak pengurusan dalam pemilihan pemain dan tidak akan ada campur tangan atau tangan ghaib yang akan menentukan hala tuju pasukan musim ini.

Menurut Pengerusi Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Muhd Rafiuddin Gulistan berkata barisan exco akan bekerja keras untuk membangunkan futsal Sabah dan meletakkan sasaran lima terbaik.

“Kita akan berusaha dengan pengurusan tertinggi SAFA serta Jawatankuasa futsal yang telah dibentuk untuk bekerja keras demi membangunkan futsal Sabah sebaik mungkin dan kita mengharapkan untuk duduk dalam lingkungan lima terbaik dalam Malaysia,” katanya.

Sementara itu Pat Sriwijit pula mendedahkan perancangan dan perubahan yang bakal dibawa olehnya dengan cuba memperbaiki kualiti yang ada pada pemain tempatan serta mencari DNA yang sesuai buat futsal Sabah.

Sriwijit adalah pengendali berpengalaman di peringkat antarabangsa dengan pernah mengendalikan skuad kebangsaan Thailand serta muncul juara liga futsal di sana sebanyak dua kali bersama PTT Chonburi Bluewave sebelum membawa cabaran Selangor TOT United pada MPFL 2023.

Sebagai rekod, Futsal Sabah menamatkan kempen MPFL 2023 di tangga keempat Kumpulan A untuk layak ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada Johor Darul Ta’zim 21-0 menerusi aggregat.