PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui jurang kualiti antara pemain-pemainnya dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sangat berbeza terutama apabila bermain pada tahap yang tinggi dan ini menjadi punca kekalahan 1-5 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Kim Swee juga mendedahkan bahawa kegagalan pasukannya mengawal perlawanan pada babak kedua selepas mendahului pada satu ketika menyebabkan JDT berjaya mencipta lebih banyak peluang seterusnya menyumbang kepada jaringan.

“Kita tewas sejurus selepas kita menjaringkan gol. Selepas itu berlaku beberapa insiden dengan kecederaan dan kekasaran yang mengubah rentak perlawanan.

“Kita juga perlu akur bahawa JDT mempunyai pemain yang berkualiti dimana kita gagal kawal perlawanan pada babak kedua ketika mahu mencari gol penyamaan dan mereka mendapat peluang lebih banyak dari yang kita inginkan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Bekas pengendali skuad B-23 kebangsaan itu juga menyatakan dia yakin dengan barisan pemain yang diturunkan meskipun tanpa tonggak yang mengalami kecederaan namun mengakui jurang kualiti terutama di bangku simpanan banyak membantu JDT.

“Mereka yang mengalami kecederaan kita tidak boleh turunkan jadi kita perlu percaya dengan pemain yang sedia ada. Apabila bermain pada tahap yang cukup tinggi kita dapat lihat jurang antara pasukan Sabah dan JDT terutama apabila mereka menukar pemain, mereka mempunyai kualiti dan ‘squad depth‘ yang cukup banyak berbanding pemain Sabah FC,” jelasnya.

Meskipun tewas, Kim Swee masih positif pasukannya mampu menamatkan liga di tempat yang lebih baik dan mahu mencapai kemenangan dalam perlawanan seterusnya .

“Kita masih lagi dalam kelompok lima terbaik dan itu adalah objektif dan matlamat kita dan kita masih mempunyai peluang dan mampu mengubah kedudukan dalam liga jika berjaya mendapat kemenangan dalam baki enam perlawanan selepas ini,” katanya.

Kekalahan 1-5 itu juga menyaksikan rekod bersih Sabah FC di Likas lebur selepas aksi lima bintang dari Bergson Da Silva yang meledak hatrik dengan Juan Muniz dan Heberty Fernandes masing-masing menambah satu gol untuk JDT membawa pulang tiga mata penuh.