KETAJAMAN pemerhatian Herry Iman Pierngadi dalam memadankan serta mengimbas kekuatan individu pemain, amat diperlukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sehingga dipilih menggantikan kekosongan ditinggalkan ketua jurulatih beregu lelaki, Tan Bin Shen.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, beliau amat mengenali Herry sejak bergelar pemain lagi, malah sudah melihat jurulatih itu mencipta magis di Indonesia.

Justeru, kehadiran Herry, 63, tentunya ditagih untuk membentuk semula pasukan beregu lelaki negara ke tahap terbaik dalam usaha untuk meraih gelaran-gelaran utama.

“Harry seperti yang kita tahu, sudah mempunyai pengalaman luas sebagai jurulatih. Saya mengenali Herry, sejak beliau masih seorang pemain di kelab bersama saya di Bimantara Tangkas.

“Setelah Herry menyertai pasukan kebangsaan dan menjadi jurulatih, beliau membimbing pemain seperti Chandra Wijaya, Sigit Budiarto, Tony Gunawan dan Halim Haryanto

“Pemain di bawah bimbingan Herry menjadi pasangan beregu yang sangat unggul malah ada yang berjaya meraih pingat emas di Sukan Olimpik. Jadi, pengalaman beliau sebagai jurulatih, saya rasa kita tidak ragu-ragu lagi membawanya ke BAM. Kami mengharapkan sesuatu daripada Herry,” katanya, pada sidang media mesyuarat Majlis BAM, di Axiata Arena.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky yakin Herry Iman Pierngadi mampu ubah nasib beregu lelaki negara.

Justeru, Rexy menyuarakan keyakinannya untuk mempercayai sepenuhnya kepada kemampuan Herry untuk memperkuat beregu lelaki negara.

“Beliau juga menyebut mahu membantu Aaron-Wooi Yik. Saya mengharapkan dia datang, duduk bersama semua pemain. Kemudian biarkan dia menilai semua pemain kami dan merancang apa yang perlu dilakukan nanti.”

Dengan kemasukan Herry Iman Pierngadi, BAM berharap dapat memperkukuhkan lagi kedudukan pasukan beregu lelaki negara dan meningkatkan prestasi mereka di pentas antarabangsa.

Sebagai rekod, kerusi ketua jurulatih beregu lelaki negara kosong selepas Tan Bin Shen akan melepaskan jawatannya selaku ketua jurulatih beregu lelaki negara berkuat kuasa 13 Januari ini selepas menerima tawaran untuk bersama skuad badminton Hong Kong.

Terdahulu, pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam mengumumkan pelantikan Herry sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara, berkuat kuasa 1 Februari depan.

Herry diikat bersama BAM selama empat tahun dengan matlamat utama adalah memastikan pemain negara membawa pulang pingat emas dari Temasya Los Angeles 2028.

Langkah BAM membawa masuk Herry ke ABM dilihat sebagai langkah tepat selepas jurualtih berpengalaman itu sudah terbukti berjaya melahirkan beregu terbaik dunia dan juga pemenang pingat emas Olimpik seperti Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008), selain menjadi watak utama membentuk gandingan Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamulio.