PELUMBA JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah akan menggunakan seluruh pengalaman yang ada padanya di Litar Antarabangsa Chang, Buriram sebagai kelebihan buat dirinya apabila memulakan cabaran Asia Road Racing Championship 2024 bermula Jumaat.
Hafizh bagaimanapun bagai bermula dengan langkah kiri apabila motosikal Ducatinya tiba lewat di Buriram yang menyebabkan dia dan pasukan tidak dapat mengikuti sesi ujian yang diadakan pada Rabu.
Namun dia yakin perkara itu bukanlah penghalang untuknya menyerlah dalam perlumbaan pembukaan musim itu dan memberikan saingan kepada semua pelumba yang terlibat dalam kelas ASB1000 itu.

Hafizh ketika sesi sidang media
“Saya gembira untuk memulakan musim baharu ini dan walaupun jentera tiba lewat dan saya tidak dapat menyertai sesi ujian namun saya pasti ada hikmah disebaliknya dan ianya tidak mematahkan semangat kami sepasukan.
“Di litar ini saya ada pengalaman dan disinilah saya mula mendapat tempat ke MotoGP dan meskipun kali terakhir saya berlumba di sini adalah pada 2019, saya yakin dengan pengalaman yang ada disini dapat membantu saya dalam perlumbaan ini,” katanya dalam sidang media pra perlumbaan di Buriram.
Hafizh adalah pelumba tunggal dan pertama pasukan JDT Racing Team dan dia tahu bukan mudah untuk membawa jenama JDT kerana ianya adalah jenama juara namun dia yakin dengan seluruh anggota pasukan yang bersengkang mata menyiapkan jentera untuknya.

Hafizh kini sedia menggegar Asia Road Racing Championship 2024
Musim 2024 Asia Road Racing Championship bakal menyaksikan enam siri perlumbaan bermula di Thailand sebelum ke China, Jepun, Indonesia dan Malaysia sebelum mengakhiri kejuaraan di Thailand semula pada Disember.