Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menegaskan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris masih belum berakhir meskipun pasukannya tewas 1-2 kepada Manchester City.

Kekalahan itu menyaksikan City merapatkan jurang mata, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Arsenal yang kini masih mendahului liga dengan kelebihan tipis.

Menurut Arteta, baki lima perlawanan terakhir bakal menjadi penentu sebenar dalam perlumbaan kejuaraan musim ini.

“Saingan seperti bermula semula. Kami masih di depan dengan tiga mata, mereka ada kelebihan satu perlawanan, jadi semuanya masih terbuka,” katanya.

Arsenal kini mengumpul 70 mata selepas 33 perlawanan dan berpeluang mengukuhkan kedudukan dengan beberapa aksi penting termasuk menentang Newcastle United, Fulham dan Burnley di laman sendiri.

Skuad The Gunners turut dijadual berkunjung ke gelanggang West Ham United dan Crystal Palace dalam baki perlawanan musim ini.

Dalam masa sama, Arsenal turut perlu mengimbangi cabaran di pentas Eropah apabila bakal berdepan Atletico Madrid pada separuh akhir Liga Juara-Juara.

Prestasi semasa Arsenal juga dilihat sedikit goyah selepas mencatat beberapa keputusan kurang memberangsangkan dalam perlawanan terakhir.

Bagaimanapun, Arteta kekal optimis pasukannya mampu bangkit dan terus memberi tekanan kepada pencabar utama.

“Dalam liga ini apa sahaja boleh berlaku. Kami perlu fokus satu perlawanan demi satu perlawanan,” katanya.

Arsenal kini memburu kejuaraan liga pertama sejak 2004 dan bertekad untuk tidak mensia-siakan peluang yang masih terbuka.

Sumber Gambar: FB Arsenal FC