PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali, melontarkan pujian kepada anak buahnya yang tampil dengan aksi luar biasa, membelasah Shan United 5-0 dalam saingan Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Thuwunna, Yangon pada Rabu.
Kemenangan bergaya itu bukan sahaja menghadiahkan tiga mata penuh buat skuad Penyu, tetapi turut membuka kembali peluang mereka untuk mara ke separuh akhir, sekali gus meletakkan pasukan di landasan terbaik untuk mencipta kejayaan lebih besar.
Namun begitu, Badrul mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan menjelang dua baki perlawanan kumpulan yang bakal ditempuhi.
“Kami masih perlu memperbaiki beberapa kelemahan, dan saya berharap pemain dapat mengekalkan konsistensi dalam aksi berikutnya. Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan kemenangan pertama pada 2025, terutamanya dalam ACC. Ini semua hasil kerja keras pemain.
“Berdepan Shan United adalah perlawanan yang wajib dimenangi, meskipun kami kehilangan beberapa tonggak utama. Dengan hanya dua pemain import, saya terpaksa memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pemain tempatan.
“Hasilnya, pemain menunjukkan keupayaan mereka dan kita berjaya mencatat kemenangan yang membanggakan,” katanya selepas perlawanan.
Selepas ini, TFC akan berdepan pendahulu Kumpulan A, PSM Makassar dari Indonesia, pada 22 Januari di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum bertandang ke Bangkok untuk menentang BG Pathum United pada 5 Februari.