ATLET profesional yang membawa nama negara ke pentas antarabangsa, terus mendapat pembelaan apabila kerajaan menyediakan dana bagi menampung kos penyertaan kejohanan menerusi Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN).
Dana dari KWASN, adalah geran khusus ditawarkan bagi menganjurkan program dan aktiviti berkaitan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk penyertaan altet profesional dalam kejohanan bertaraf antarabangsa.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr K Nagulendran berkata, peruntukan dana keseluruhan berjumlah RM50 juta itu, sudah dimulakan sejak 1998 namun melalui proses penjenamaan semula dari semasa ke semasa dan kini diperluaskan kepada atlet profesional.
Menurutnya, setiap permohonan daripada atlet profesional akan dirujuk kepada Majlis Sukan Negara (MSN) kerana kelulusan hanya diberikan kepada kejohanan yang diperakui oleh MSN sahaja.
“Kalau persatuan sukan kebangsaan nak buat kejohanan peringkat antarabangsa, mereka digalakkan untuk memohon dana ini. Ia agak berbeza dengan Geran Padanan Sukan (GPS) kerana dana ini berbentuk geran 100 peratus tetapi mengikut kadar kerajaan dan boleh dimohon oleh persatuan sukan kebangsaan.
“Mengenai atlet profesional, apabila mereka pergi ke luar negara, mereka boleh memohon dan kita akan merujuk kepada MSN kerana MSN mempunyai kadar tertentu mereka.
“Contohnya jika ada permohonan RM1 juta, beberapa perincian akan dilihat dan ia akan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.
“Tahun lalu kami ada mendengar keluhan atlet (profesional) yang pergi (kejohanan antarabangsa) tetapi tidak ada bantuan, sekarang kami menjadikan ia lebih jelas,” katanya, pada sidang media pembukaan permohonan geran dan dana bagi program dan aktiviti pembangunan belia dan sukan, hari ini.
Selain KWASN, Nagulendran turut mengumumkan tiga lagi dana yang ditawarkan KBS kini boleh dipohon iaitu GPS, Dana Sukan Komuniti (DSK) serta Dana Bantuan (Pembangunan Belia) KBS.
Nagulendran berkata, GPS yang baharu diperkenalkan pada tahun lalu dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM40 juta dan bertambah kepada RM50 juta tahun ini, mendapat sambutan menggalakkan apabila pihaknya menerima sebanyak 925 permohonan dengan 467 daripadanya diluluskan.