PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu kemungkinan akan ada keraian dan sumbangan dari kerajaan buat skuad bola sepak kebangsaan yang layak ke Piala Asia 2023.

Menurut Ismail Sabri, perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan diadakan bagi mempertimbangan imbuhan berkenaan.

“Insyallah saya akan bincang dengan Menteri Belia dan Sukan, mungkin akan ada keraian dan sumbangan buat dari kerajaan atau sebagainya buat skuad Harimau Malaya yang berjaya memecahkan penantian 42 tahun beraksi di Piala Asia.

“Kerajaan akan mempertimbangkannya,” jelasnya kepada media ketika menghadiri Persidangan Parlimen Belia Malaysia, Rabu.

 

Kemarau bola sepak negara mara ke pentas Asia akhirnya ditamatkan selepas 42 tahun secara merit apabila beraksi cemerlang menewaskan Bangladesh 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan E kempen Kelayakan Akhir Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Selasa.

Bagaimanapun Ismail Sabri yang turut hadir menyaksikan dua perlawanan berturut-turut ketika kempen berlangsung dan menjadi saksi kejayaan ini menegaskan bahawa Piala Asia tahun depan adalah ujian pertama dan cabaran lebih besar, malah mungkin tidak ada penyokong-penyokong tegar seperti di SNBJ.