DETIK mencemaskan berlaku di Grand Prix Mexico awal pagi tadi apabila pelumba Racing Bulls, Liam Lawson, nyaris melanggar dua marshal yang secara tiba-tiba melintas di depannya ketika perlumbaan baru memasuki pusingan ketiga.
Insiden itu berlaku sejurus selepas Lawson keluar dari pit untuk menukar sayap hadapan, sebelum terkejut melihat dua marshal berlari menyeberangi trek di hadapannya. Rakaman perlumbaan menunjukkan pelumba muda dari New Zealand itu terpaksa mengelak pada kelajuan tinggi di selekoh pertama, mengundang reaksi panik melalui radio pasukan.
“Awak bergurau ke? Saya hampir langgar mereka! Ia sangat berbahaya,” kedengaran Lawson menjerit dalam komunikasi radio yang turut diselitkan kata-kata kecewa.
Lawson kemudiannya menyifatkan insiden itu sebagai sesuatu yang “tidak boleh diterima” dan menuntut siasatan penuh dilakukan bagi memastikan kejadian sebegitu tidak berulang.
Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) segera mengeluarkan kenyataan rasmi, mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap salah komunikasi yang berlaku ketika marshal diarahkan membersihkan serpihan di selekoh pertama.
Menurut FIA, arahan asal untuk melepaskan marshal telah dibatalkan selepas Lawson memasuki pit, namun kekeliruan berlaku sebelum bendera kuning berganda dikibarkan.
“Kami menghargai profesionalisme semua marshal serta penganjur tempatan, namun keselamatan tetap menjadi keutamaan utama,” jelas kenyataan rasmi FIA.
Pasukan Racing Bulls pula memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai insiden berisiko tinggi itu dalam laporan pasca perlumbaan mereka.