BEKAS Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi baki penggal 2025-2029.
Pelantikan itu diumumkan Presiden FAM yang baharu, Dato’ Ab Ghani Hassan pada Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif FAM yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.
Ayob Khan akan menerajui jawatankuasa berkenaan bersama Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Pelantikan itu dibuat pada mesyuarat pertama yang dipengerusikan Ab Ghani selepas beliau dipilih sebagai Presiden FAM pada Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 di Hilton Petaling Jaya pada 17 September lalu.
Sebelum ini, Ayob Khan menamatkan perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas hampir 35 tahun dalam pasukan, termasuk sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.
Dalam pada itu, Dato’ Ab Ghani turut mengambil tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan serta Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bolasepak Kebangsaan, manakala Datuk Seri Haji Rosmadi Ismail mengetuai Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan.
Bagi jawatankuasa lain, Dato’ Suraya Yaacob dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Pertandingan FAM, Datuk Saaran a/l Nadarajah mengetuai Jawatankuasa Undang-Undang, R. Muniandy a/l Rethiah bagi Jawatankuasa Pengadil, Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin bagi Jawatankuasa Perubatan dan Sains Sukan serta Datuk Syed Mahadi Syed Hassan bagi Jawatankuasa Media dan Pemasaran.