PENYERANG Selangor FC, Ayron Del Valle kini dilihat berjaya menutup mulut pengkritik apabila muncul penjaring terbanyak buat Gergasi Merah selepas 14 perlawanan dengan terbaharu mencipta hatrik ketika menumpaskan Kelantan United 7-1 minggu lalu.
Meskipun bermula agak perlahan dan mendapat kecaman daripada para penyokong, penyerang berasal dari Colombia menunjukkan peningkatan dari masa ke masa dan kini sudah menjaringkan 13 gol dari 14 perlawanan Liga Super 2023.
Jumlah 13 gol itu meletakkannya hanya ketinggalan dua gol di belakang penjaring terbanyak ketika ini, Fernando Forestieri dari Johor Darul Ta’zim sekaligus membuktikan ketajamannya di depan gawang.
“Saya gembira kerja keras selama ini membuahkan hasil yang baik untuk diri dan juga pasukan. Jaringan hatrik dalam perlawanan tempoh hari bukanlah pengakhiran.
“Sasaran saya adalah untuk terus menyumbang gol serta bantuan gol kepada pasukan bagi mencapai misi musim ini serta memastikan pasukan berada di tahap terbaik dalam setiap perlawanan.
“Secara umumnya, atmosfera pasukan sekarang berada di tahap yang baik, terima kasih kepada barisan kejurulatihan dan staf teknikal yang memimpin pasukan dalam memastikan keyakinan berada di tahap terbaik,” jelas Ayron.

Ayron meraikan jaringannya bersama Faisal Halim
Pemain berusia 34 tahun itu juga menjelaskan dia sudah mula berkomunikasi dengan baik bersama rakan-rakan sepasukan dan ini sedikit sebanyak membantu aksinya di dalam padang.
“Dalam masa yang sama, saya merasakan komunikasi yang baik di dalam dan di luar padang sangat membantu saya untuk beraksi dengan baik,” tambahnya.
Ayron meledak hatrik pertamanya bersama Selangor dan kini mula mencabar kedudukan penjaring terbanyak Liga Super musim ini dengan pemain Selangor dilihat semakin serasi beraksi untuk membentuk pasukan yang mantap bagi menghadapi baki saingan liga.