HARAPAN skuad Malaysia Bawah 23 (B-23) untuk melangkah ke separuh akhir Piala ASEAN Mandiri 2025 akhirnya terkubur selepas sekadar seri tanpa jaringan menentang Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, petang ini.
Dihadapan lebih 27,000 penyokong tuan rumah yang membanjiri GBK, anak buah Nafuzi Zain tampil berani dan cuba mengawal permainan biarpun diasak bertubi-tubi oleh skuad Garuda muda. Malaysia memerlukan kemenangan dengan kelebihan tiga gol untuk melayakkan diri, namun tekanan tinggi dari Indonesia menyukarkan misi tersebut sejak awal perlawanan.
Pada minit ke-19, peluang terbaik hadir apabila Haqimi Azim dijatuhkan di hadapan kotak penalti, namun sepakan percuma Aliff Izwan sekadar terkena benteng pertahanan lawan. Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 0-0 dalam suasana perlawanan yang tegang dan penuh bentesan antara kedua-dua pasukan.
Bersambung babak kedua, Aliff terus menjadi tumpuan dengan dua percubaan menarik termasuk sepakan percuma ‘roket’ pada minit ke-53 yang hampir mengejutkan penjaga gol Indonesia. Ketika pasukan tuan rumah dilihat semakin garang menyerang, aksi cemerlang pertahanan Shafizan Arshad menyelamatkan situasi 1 lawan 1 menerusi terjahan bersih ke atas Jens Raven.
Nafuzi cuba mengubah rentak dengan memasukkan Abdul Rahman dan Danish Hakimi, namun masa yang terus mencemburui Harimau Muda menyaksikan usaha mereka buntu. Keputusan 0-0 kekal hingga tamat permainan, sekaligus menyingkirkan Malaysia yang hanya mengutip satu mata, apabila kemenangan ke atas Brunei tidak dikira dalam pengiraan rasmi kumpulan.
Kegagalan mara ke separuh akhir ini pasti mengecewakan kem Malaysia, namun prestasi berani yang ditampilkan terutama ketika menentang tuan rumah memberi gambaran bahawa masih ada potensi besar yang boleh dibentuk menjelang kempen akan datang.