“SAYA juga pening nak bahagikan masa, tahun ini saya exam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia)!” Itulah dilema seorang atlet remaja yang sudah mencipta nama sebagai antara pemilik rekod kebangsaan di kolam renang.

Muhammad Dhuha Zulfikry, 17, mengakui tidak mudah untuknya mengatur jadual pada tahun penting ini, apa lagi dengan adanya Temasya Sukan SEA di Bangkok, Thailand Disember depan.

Muhammad Dhuha Zulfikry mengakui bergelut membahagikan masa.

Dhuha mengesahkan tidak akan menyertai Kejohanan Akuatik Dunia 2025 yang berlangsung di Singapura ketika ini (10 Julai-3 Ogos), namun berdepan kepenatan mental apabila perlu menyiapkan diri untuk Kejohanan Remaja Dunia di Romania, 19 hingga 24 Ogos serta Sukan SEA dalam masa sama melakukan persiapan untuk menduduki peperiksaan SPM.

“Jurulatih juga menyarankan agar saya memberikan tumpuan kepada Kejohanan Remaja Dunia dan lupakan Kejohanan Dunia,” katanya, yang menjalani latihan setiap pagi dan petang.

Biarpun mengakui cukup bersedia dari segi fizikal, tempoh latihan yang panjang tetap menjadi cabaran sukar dan hanya ‘mencuri’ masa terluang untuk mengulangkaji pelajaran.

Muhammad Dhuha Zulfikry, 17, pada Kejohanan Terbuka Malaysia tahin lalu. |FOTO SURIA FM

“Daripada segi mental, ia agak terganggu kerana saya perlu fokus kepada SPM, Sukan SEA dan Kejohanan Remaja Dunia pada masa yang sama.

“Ia agak sukar. Latihan mengambil masa yang lama dan saya hanya dapat belajar jika ada masa terluang, tetapi saya akan cuba yang terbaik,” katanya yang memenangi Anugerah Atlet Muda Terbaik, Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM) 2024.

Perenang muda itu mensasarkan untuk layak ke peringkat akhir dahulu dalam setiap acara (200 meter (m), 400m, 800m dan 1500m gaya bebas) di Kejohanan Remaja Dunia sebelum memburu podium.