PEMILIK Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) berbangga dengan kejayaan Kuala Lumpur City FC muncul juara final Zon Asean Piala AFC 2022 menewaskan PSM Makassar 5-2 pada Rabu.
Beliau mengucapkan tahniah di ruangan komen laman Instagram rasmi KL City di hantaran yang memperlihatkan skuad warga kota itu seperti kehilangan kata-kata kerana terlalu gembira dengan kejayaan ini.
Selain itu, Tunku Ismail turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard dan juga ketua jurulatih, Bojan Hodak serta semua pemain atas pencapaian membanggakan ini.
“Budget 10 juta setahun sahaja. Malaysia Cup champion, AFC Cup Zonal Asean Final champion. Congratulations Kuala Lumpur City FC. Well done Stanley Bernard, Bojan Hodak and the players,” tulis Baginda.
KL City adalah salah satu pasukan yang tidak mempunyai bajet yang besar dalam Liga Super namun gabungan dari pihak pengurusan tertinggi, barisan kejurulatihan dan semangat juang pemain menjadi kunci utama kejayaan ini.
Kejayaan KL City sampai ke tahap ini juga menyaksikan mereka menjadi penyumbang kepada pertambahan mata ranking MA Malaysia sekaligus memberikan slot tambahan kepada kelab negara dalam saingan Liga Juara-Juara AFC musim 2024 nanti.

Balasan dari Tunku Mahkota Johor
Kuala Lumpur City kini perlu menunggu keputusan dari FIFA sama ada sekatan keatas FA India kekal atau ditarik balik untuk mengetahui lawan mereka di peringkat semi final Antara Zon yang dijadualkan pada awal September.
Skuad kendalian Bojan Hodak yang layak ke kejohanan tier kedua kelab Asia selepas menjuarai Piala Malaysia musim lalu kini dilihat mampu menjadi kelab kedua dari Malaysia untuk muncul juara mengulangi kejayaan JDT yang muncul juara pada 2015.