Kejayaan kontinjen Malaysia melakar pencapaian membanggakan pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 terus diraikan apabila kerajaan menyalurkan ganjaran keseluruhan berjumlah RM1.1 juta menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kepada atlet yang berjaya membawa pulang pingat.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, insentif itu merupakan penghargaan kerajaan terhadap komitmen dan pengorbanan atlet yang mengharumkan nama negara sepanjang temasya berlangsung.
Menurut beliau, setiap pemenang pingat emas akan menerima ganjaran RM80,000, manakala atlet yang berjaya memecahkan rekod temasya turut menerima bonus tambahan RM10,000.
Bagi pemenang pingat perak pula, mereka akan membawa pulang RM40,000, sementara pemenang gangsa menerima RM20,000.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan kepulangan kontinjen Malaysia dari Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Dalam perkembangan sama, Dr Mohammed Taufiq memaklumkan Majlis Sukan Negara (MSN) sedang meneliti usaha meningkatkan kadar ganjaran SHAKAM pada masa depan melalui suntikan dana daripada sektor korporat.
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan atlet negara terus menerima penghargaan yang setimpal dengan kejayaan mereka di pentas antarabangsa.
Mengulas prestasi kontinjen negara, beliau menyifatkan pendekatan menetapkan sasaran berdasarkan warna pingat sebagai strategi yang berjaya dan akan diteruskan menjelang temasya besar seterusnya termasuk Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang dijadual berlangsung bermula 19 September.
Menurutnya, sebelum sasaran itu ditetapkan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama MSN telah mengadakan perbincangan menyeluruh dengan persatuan sukan, jurulatih serta atlet bagi memastikan sasaran yang ditetapkan tidak memberikan tekanan berlebihan kepada mereka.
Beliau percaya pendekatan tersebut berjaya menyuntik motivasi kepada atlet untuk memburu lebih banyak pingat emas, selain menjadi sebahagian daripada usaha jangka panjang negara dalam merealisasikan impian memenangi pingat emas sulung di Sukan Olimpik.
Malaysia menutup kempen di Glasgow dengan pencapaian melepasi sasaran apabila mengumpul lapan pingat emas, tiga pingat perak dan lima pingat gangsa.