BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei akan terus mendapat sokongan penuh barisan kejurulatihan kebangsaan bagi membantu mereka mengatasi tekanan psikologi setiap kali beraksi di kejohanan Seluruh England.
Memetik laporan daripada BH, Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky berkata pasangan tersebut perlu segera keluar daripada tekanan mental yang dilihat memberi kesan kepada corak permainan mereka setiap kali beraksi di kejohanan berprestij itu.
Tang Jie-Ee Wei tersingkir seawal pusingan pertama minggu lalu selepas tewas kepada pasangan Denmark, Rasmus Espersen dan Amalie Cecilie Kudsk dalam pertarungan tiga set 21-18, 12-21, 23-25.
Menurut Rexy, walaupun pasangan negara itu telah melakukan persiapan rapi sebelum kejohanan bermula, mereka masih dibelenggu pengalaman kurang baik pada edisi-edisi lalu yang sedikit sebanyak mempengaruhi keyakinan di gelanggang.
“Bagi beregu campuran, kita dapat lihat Tang Jie-Ee Wei masih dibayangi pengalaman kurang baik setiap kali beraksi di Seluruh England sehingga menjejaskan pemikiran mereka di gelanggang.
“Jadi perkara ini perlu kita atasi supaya mereka dapat tampil dengan keyakinan dan permainan yang lebih baik,” katanya.
Sejak digandingkan dan membuat penampilan sulung di kejohanan berprestij itu pada 2023, pasangan negara tersebut masih belum berjaya melangkah jauh dengan pencapaian terbaik setakat ini ialah mara ke pusingan kedua pada edisi 2024.
Bagaimanapun, pasangan yang kini menghuni ranking keempat dunia itu tetap menunjukkan potensi besar apabila berjaya meraih satu kejuaraan musim ini selepas muncul juara di Indonesia Masters pada Januari lalu.